Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)
382 subscribers
961 photos
9 videos
1 file
89 links
Channel Rasmi JAKESS untuk menyalurkan berita mengenai Mahkamah Syariah Negeri Selangor
Download Telegram
PROGRAM OUTREACH SULH & HAKAM DEKATKAN MASYARAKAT DENGAN KAEDAH PENYELESAIAN SECARA DAMAI

3 November 2022, Shah Alam - Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah menganjurkan program Outreach Sulh dan Hakam dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan penyertaan hampir 200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat disini, semalam.

Program ini dirasmikan oleh YAA Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Selangor bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) yang turut berkesempatan beramah mesra bersama peserta dan reruai pameran disediakan sejurus selepas ucapan perasmian.

Program Outreach Sulh & Hakam membawakan 4 slot dalam aturcara program yang berlangsung seharian yang menyaksikan para peserta disajikan dengan pendedahan ilmu dalam pelbagai bentuk penyampaian agar objektif "Outreach" itu tercapai dengan jayanya.

Slot pertama dimulakan dengan penerangan As-Sulh Khair dan Hakam Satu Alternatif Penyelesaian Pantas Kes di Mahkamah Syariah yang disampaikan oleh Bahagian Penyelesaian Alternatif (ADR).

Slot kedua merupakan taklimat bertajuk Zakat & Jaminan Kebahagiaan Rumahtangga dibawakan oleh Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah LZS.

Manakala slot ketiga adalah Forum Bicara Syariah yang membawakan topik Sulh & Hakam: Titik Damai Sebelum Bicara yang membariskan ahli panel berwibawa iaitu Prof. Madya Dr Hendun Binti Abd. Rahman, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Tuan Mohd Hairuddin bin Ab Rahim, Pegawai Syariah JAKESS dan Dr Zulzaidi bin Mahmood, Pegawai Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.

Mengakhiri program pada hari tersebut iaitu acara kemuncak merupakan slot keempat iaitu muhakat tahkim adaptasi daripada kisah sebenar yang menyaksikan lakonan atau simulasi dilangsungkan bagi tatapan dan kefahaman para peserta.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor merakamkan jutaan terima kepada semua yang terlibat menjayakan program ini terutamanya LZS, para penceramah dan panel, barisan urusetia juga kepada para peserta.

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama
LAWATAN KERJA MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA KE SEKSYEN REKOD JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR

SHAH ALAM, 4 November 2025 – Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah mengadakan satu lawatan kerja ke Seksyen Rekod, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) disini, semalam.

Lawatan ini diketuai oleh Tuan Mohd Saifuddin Bin Othman, Pegawai Penyelidik Kanan; Encik Zainal Abidin Bin Mohd Hidzir, Pegawai Rekod Jabatan; dan Puan Sharifah Binti Shuib, Pembantu Tadbir Rekod Jabatan, Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menimba ilmu serta berkongsi pengalaman mengenai pengurusan dan tatacara penjilidan dokumen rekod penting. Tumpuan turut diberikan kepada pelaksanaan Kod Bidang 221311 – Perkhidmatan Membaik Pulih Bahan Terbitan dan Manuskrip sebagaimana kehendak Arahan Amalan No. 3 Tahun 2016 serta ketetapan Arkib Negara Malaysia.

Ketibaan delegasi telah disambut mesra oleh Tuan Sofian Bin Ibrahim, Ketua Seksyen Rekod JAKESS; Puan Nuzaziraakmar Binti Othman, Pembantu Tadbir Rekod Jabatan; serta beberapa pegawai Seksyen Rekod yang lain. Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai pengurusan dan tatacara penjilidan rekod yang dilaksanakan di JAKESS.

Para peserta turut berpeluang melawat bilik fail, meneliti buku penjilidan serta melihat secara dekat proses penyimpanan dan penyelenggaraan dokumen penting jabatan.

Dalam sesi perbincangan akhir, Ketua Delegasi Mahkamah Syariah Negeri Melaka menyatakan harapan agar lawatan ini dapat memberi peluang kepada pihak mereka untuk memperoleh pengetahuan baharu serta mengadaptasi amalan terbaik dalam pengurusan penjilidan rekod.

Lawatan ini juga diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua agensi dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan kehakiman Syariah di Malaysia.

Lawatan kerja tersebut diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan sesi bergambar kenang-kenangan antara pegawai kedua-dua jabatan.

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama
UCAPAN SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN & TERIMA KASIH

Seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada

Yang Arif Dato' Mohammad Adib bin Husain

atas khidmat bakti dan kepimpinan cemerlang sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor.

Tahniah diucapkan diatas pelantikan sebagai Hakim Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Semoga terus diberi kekuatan, kebijaksanaan dan rahmat Allah SWT dalam meneruskan khidmat bakti di peringkat yang lebih tinggi.

Ikhlas daripada:
Seluruh Warga Kerja Jabatan Kehakiman Syariah Selangor

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama
UCAPAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH

Tahniah diucapkan kepada Yang Amat Arif Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin yang dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, berkuat kuasa pada 30 Oktober 2025.

Seluruh warga JAKESS mendoakan semoga YAA terus diberikan kekuatan dan rahmat oleh Allah SWT dalam memimpin dengan hikmah serta mengangkat martabat kehakiman Syariah Negeri Selangor ke arah kecemerlangan yang berterusan.

Ikhlas daripada:
Seluruh Warga Kerja Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama
Tahniah diucapkan kepada Puan Salwani Binti Khalid atas pelantikan sebagai Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Semoga amanah yang diberikan ini terus dipimpin dengan penuh integriti, dedikasi dan komitmen demi memperkukuh mutu perkhidmatan kehakiman Syariah.

Seluruh warga kerja JAKESS mendoakan agar kepimpinan puan membawa kecemerlangan yang berterusan, serta menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkatkan sistem perundangan Syariah di negeri Selangor.

Ikhlas Daripada:
Seluruh Warga Kerja Jabatan Kehakiman Syariah Selangor

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama