CHANNEL BAKAL AHLI PERTUBUHAN GAGASAN INOVASI RAKYAT MALAYSIA
9.22K subscribers
1.97K photos
122 videos
5 files
3K links
Download Telegram
KENYATAAN MEDIA PGIRM

Untuk Edaran

SIMPANAN PENCARUM BUKAN WANG UNTUK DIAMBIL MUDAH. KWSP PERLU PERJELAS PELABURAN DALAM HUTANG KERAJAAN!

PGIRM tuntut ketelusan mengenai jumlah pelaburan, pulangan dan pengurusan risiko dana pencarum

2 November 2026

Kuala Lumpur - Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menuntut penjelasan rasmi dan lebih terperinci daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung pelaburan dana pencarum dalam instrumen hutang kerajaan, khususnya Malaysian Government Securities (MGS) dan Malaysian Government Investment Issues (MGII).

PGIRM tidak mempertikaikan kewajaran KWSP melabur dalam instrumen hutang kerajaan. Pelaburan sedemikian merupakan sebahagian daripada pilihan pengurusan portfolio sesebuah institusi pelaburan.

Namun, persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh mana pencarum diberikan maklumat yang jelas tentang jumlah dana yang dilaburkan, pulangan yang diperoleh, pendedahan risiko serta langkah perlindungan terhadap wang simpanan yang diamanahkan kepada KWSP.

Pencarum tidak sepatutnya hanya diminta terus menyimpan untuk hari tua, sedangkan persoalan mengenai pengurusan dan kedudukan dana mereka tidak mendapat penjelasan yang mudah difahami.

PGIRM ingin menegaskan bahawa tuntutan ini bukan tuduhan bahawa wang KWSP telah disalahgunakan, hilang atau mengalami kerugian. Sebaliknya, ia adalah tuntutan terhadap ketelusan, akauntabiliti dan tanggungjawab menjelaskan bagaimana dana pencarum diuruskan.

Sehubungan itu, PGIRM mengemukakan enam persoalan utama yang memerlukan penjelasan KWSP:

1. Jumlah pelaburan: Berapakah jumlah sebenar pelaburan KWSP dalam MGS, MGII dan instrumen hutang kerajaan yang lain, serta berapakah peratusannya berbanding keseluruhan aset pelaburan KWSP?

2. Pulangan pelaburan: Apakah pulangan yang diperoleh daripada pelaburan tersebut bagi tempoh lima tahun terkini, termasuk kaedah pengiraan pulangan yang digunakan?

3. Bayaran kupon dan prinsipal: Bagaimanakah mekanisme pembayaran pulangan dan pembayaran semula prinsipal apabila instrumen tersebut mencapai tempoh matang?

4. Penilaian risiko: Apakah penilaian KWSP terhadap risiko sekiranya berlaku tekanan fiskal, peningkatan hutang kerajaan atau perubahan keadaan ekonomi yang boleh mempengaruhi nilai dan pulangan instrumen tersebut?

5. Had pendedahan dan kawalan risiko: Apakah had pelaburan, kawalan dalaman dan langkah pengurusan risiko yang digunakan bagi memastikan kepentingan pencarum terus dilindungi?

6. Ketelusan kepada pencarum: Adakah KWSP bersedia menyediakan penerangan yang lebih terperinci, berkala dan mudah difahami mengenai pendedahan pelaburan dalam instrumen hutang kerajaan?

TINDAKAN RASMI PGIRM TELAH DIMULAKAN

Untuk rekod, persoalan mengenai ketelusan pelaburan KWSP ini bukan dibangkitkan secara tiba-tiba susulan perbahasan di Dewan Rakyat.

PGIRM telah merancang dan mengambil tindakan rasmi lebih awal sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperjuangkan hak pencarum untuk mendapatkan penjelasan mengenai pengurusan simpanan mereka.

Pada 1 November 2026, PGIRM telah mengemukakan dua surat rasmi melalui Setiausaha Sulit Kanan Pejabat Perdana Menteri untuk dipanjangkan kepada pihak berkenaan, iaitu satu kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan satu lagi kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

PGIRM meminta agar setiap pihak memberikan maklum balas bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan surat masing-masing. Tempoh tersebut merupakan tempoh maklum balas yang diminta oleh PGIRM dan bukannya suatu tempoh mandatori yang ditetapkan oleh undang-undang.

PGIRM menghormati peranan Ahli Parlimen yang membangkitkan isu berkaitan pelaburan dan dana institusi awam. Namun, pendirian PGIRM dalam perkara ini adalah berdasarkan tanggungjawab serta usaha sendiri yang telah dimulakan lebih awal.

JANGAN HANYA MINTA PENCARUM MENYIMPAN. JELASKAN JUGA BAGAIMANA SIMPANAN ITU DIURUSKAN.
❀12πŸ‘2πŸ”₯2
Bagi PGIRM, ketelusan bukan bermaksud KWSP perlu mendedahkan setiap maklumat sulit atau strategi pelaburan yang boleh menjejaskan kepentingan institusi. Namun, alasan kerahsiaan tidak seharusnya menutup ruang untuk memberikan maklumat agregat, penjelasan risiko dan prestasi yang wajar diketahui oleh pencarum.

Pencarum berhak memahami bagaimana wang simpanan mereka diuruskan. Kepercayaan terhadap KWSP perlu diperkukuh melalui penjelasan yang jelas, bukan sekadar kenyataan umum.

PGIRM akan terus menggunakan saluran rasmi dan membawa persoalan ini kepada perhatian pihak berkuasa sehingga penjelasan yang munasabah diberikan.

WANG ITU SIMPANAN PENCARUM. AMANAH PENGURUSANNYA MESTI DISERTAI KETELUSAN DAN AKAUNTABILITI.

AZMI MOHD TAHIR
Presiden
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM)
πŸ‘22❀5πŸ”₯2😒2
KENYATAAN PERSOALAN PGIRM

CARUMAN KWSP MENINGKAT RM33.87 BILION, TETAPI SIAPA PEDULI NASIB RAKYAT YANG MASIH MENGANGGUR DAN PENCARUM YANG TERDESAK?

PGIRM mengambil maklum peningkatan caruman KWSP sebanyak 8.5% kepada RM33.87 bilion. Ini perkembangan positif. Namun, adakah peningkatan ini benar-benar membuktikan semakin ramai rakyat mendapat pekerjaan, atau turut dipengaruhi peningkatan gaji dan caruman pencarum sedia ada?

Jangan samakan peningkatan jumlah caruman dengan peningkatan peluang pekerjaan. Persoalannya, bagaimana pula nasib rakyat yang kehilangan pekerjaan, pekerja gig berpendapatan tidak menentu, golongan bergaji rendah, suri rumah dan pencarum yang berdepan penyakit kronik?
Mereka juga sebahagian daripada rakyat yang memerlukan pembelaan.

JANGAN HANYA BERBANGGA DENGAN ANGKA CARUMAN YANG MENINGKAT, SEDANGKAN MASIH ADA RAKYAT YANG BERGELUT UNTUK MENERUSKAN KEHIDUPAN!

PGIRM menegaskan bahawa tuntutan pengeluaran KWSP secara BERSASAR, BERSYARAT, TERHAD DAN TERKAWAL bukan bermaksud pengeluaran bebas.

BILA ANGKA PERTUMBUHAN MENINGKAT, BILAKAH PEMBELAAN TERHADAP PENCARUM YANG TERDESAK AKAN MENYUSUL?

AZMI MOHD TAHIR
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM)
πŸ‘25πŸ”₯2😒2
KENYATAAN MEDIA PGIRM

Untuk Edaran

EKONOMI BERKEMBANG, CARUMAN KWSP MENINGKAT, TETAPI MAMPUKAH RAKYAT HIDUP SELESA HARI INI SEBELUM MEMIKIRKAN HARI TUA?

3 November 2026

Kuala Lumpur - Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) mengambil perhatian terhadap kupasan Dr. Roslan Ja’afar, Pensyarah Kanan Pusat Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menerusi laporan Malaysia Gazette bertarikh 3 November 2026 bertajuk Ekonomi berkembang, mampukah rakyat menikmati persaraan selesa?

Kupasan tersebut membawa satu persoalan besar yang tidak boleh dipandang ringan: pertumbuhan ekonomi negara tidak semestinya menjamin rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik.

PGIRM melihat persoalan ini amat berkait rapat dengan realiti pencarum KWSP hari ini.

KWSP melaporkan jumlah caruman meningkat 8.5% kepada RM33.87 bilion pada suku kedua 2026. Bilangan ahli aktif pula meningkat 21.9% kepada hampir 10.95 juta orang.

Angka ini sememangnya perkembangan positif.

Namun, JANGAN TERLALU CEPAT BERBANGGA DENGAN ANGKA PERTUMBUHAN JIKA PERSOALAN KECUKUPAN PENDAPATAN DAN SIMPANAN RAKYAT MASIH BELUM DISELESAIKAN.

Peningkatan caruman tidak semestinya bermakna semua pekerja menikmati kenaikan gaji, mempunyai lebihan pendapatan atau mampu membina simpanan persaraan yang mencukupi.

Persoalannya:

1. Bagaimana pekerja bergaji rendah mampu membina simpanan hari tua jika pendapatan hari ini hampir habis untuk kos sara hidup?

2. Bagaimana nasib pekerja gig, bekerja sendiri dan mereka yang tidak mencarum secara konsisten?

3. Bagaimana pula pencarum yang kehilangan pekerjaan, mengalami penyakit kronik atau berdepan kesusahan kewangan serius?

4. Adakah sistem perlindungan persaraan negara benar-benar mengambil kira keperluan mereka yang masih hidup dalam tekanan kewangan hari ini?

PGIRM ingin menegaskan bahawa MASALAH SIMPANAN HARI TUA TIDAK BOLEH DIPISAHKAN DARIPADA KESUSAHAN HIDUP HARI INI.

Kerajaan tidak boleh hanya menggalakkan rakyat menyimpan untuk persaraan sedangkan isu gaji rendah, pekerjaan tidak stabil dan peningkatan kos sara hidup masih menghimpit sebahagian besar isi rumah.

PGIRM juga ingin mengingatkan bahawa tuntutan pengeluaran KWSP secara BERSASAR, BERSYARAT, TERHAD DAN TERKAWAL bukanlah tuntutan pengeluaran bebas atau usaha menghapuskan tujuan asal simpanan persaraan.

Ia merupakan tuntutan supaya kerajaan menilai semula ruang perlindungan kepada pencarum yang benar-benar berdepan kesusahan dan memenuhi syarat tertentu.

JANGAN JADIKAN SIMPANAN HARI TUA SEBAGAI ALASAN UNTUK MENUTUP MATA TERHADAP KESUSAHAN HIDUP PENCARUM HARI INI!

PGIRM mahu kerajaan dan KWSP menjawab satu persoalan yang lebih besar:

APAKAH MAKNA PERTUMBUHAN EKONOMI DAN PENINGKATAN CARUMAN KWSP JIKA SEBAHAGIAN RAKYAT MASIH TIDAK MAMPU HIDUP SELESA, APATAH LAGI MEMBINA SIMPANAN UNTUK HARI TUA?

Pertumbuhan ekonomi sepatutnya membawa kesejahteraan kepada rakyat, bukan sekadar menghasilkan angka yang kelihatan membanggakan.

AZMI MOHD TAHIR
Presiden
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM)

RUJUKAN MEDIA:

1.Malaysia Gazette, 3 November 2026 – Ekonomi berkembang, mampukah rakyat menikmati persaraan selesa? Oleh Dr. Roslan Ja’afar, Pensyarah Kanan, Pusat Siswazah Perniagaan, UKM.
https://malaysiagazette.com/2026/11/03/ekonomi-berkembang-mampukah-rakyat-menikmati-persaraan-selesa/

2.KWSP, 17 Ogos 2026 – KWSP Lapor Pendapatan Pelaburan Bagi 1H 2026, termasuk statistik caruman dan keahlian bagi suku kedua 2026.
https://www.kwsp.gov.my/ms/w/berita/kwsp-lapor-pendapatan-pelaburan-bagi-1h-2026?
πŸ‘27πŸ”₯2❀1
PERJUANGAN PENCARUM BUKAN PERJUANGAN BERMUSIM! BARU LIMA BULAN, KE MANA HILANGNYA SUARA YANG DAHULUNYA BEGITU LANTANG?

Salam Tahjud dan Salam Subuh shbt pencarum.

Dalam pemerhatian saya, pada awalnya begitu ramai pejuang pencarum tampil dengan semangat berkobar-kobar. LIVE hampir setiap hari, lantang mendesak kerajaan dan KWSP serta mengajak lebih ramai pencarum menyertai gerakan menuntut hak.

Namun, belum pun sampai lima bulan, suara yang dahulunya lantang semakin menyepi. Desakan tidak lagi konsisten dan ada kumpulan yang akhirnya memilih untuk berhenti.

Persoalannya, di manakah silapnya?
Adakah kita kekurangan strategi, kepimpinan, penyelarasan atau ketahanan perjuangan?
Apabila saluran rasmi sudah didesak tetapi tiada maklum balas, adakah itu alasan untuk berhenti?

TIDAK! Ketiadaan jawapan sepatutnya mendorong kita mengubah strategi, bukannya menguburkan perjuangan.

Mari kita buat post-mortem. Kita bukan mahu mencari salah sesiapa, tetapi mengenal pasti kelemahan supaya kesilapan sama tidak berulang.

Perjuangan pencarum bukan perjuangan bermusim. Jangan hanya hebat ketika memulakan perjuangan, tetapi hilang apabila berdepan kebuntuan.

Saya ingin mendengar pandangan pencarum dan semua penggerak. Di manakah sebenarnya kelemahan gerakan kita?

Azmi Mohd Tahir
Presiden PGIRM
πŸ”₯21πŸ‘5❀4
KENYATAAN MEDIA PGIRM

Untuk Edaran

GAJI TAK CUKUP, SIMPANAN TAK MENCUKUPI β€” JANGAN JADIKAN AKAUN FLEKSIBEL ALASAN MENUTUP TUNTUTAN PENCARUM!

5 Nov 2026

Kuala Lumpur - Kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa rakyat Malaysia bukan malas bekerja, sebaliknya berdepan tawaran gaji yang tidak setimpal dengan kos kehidupan, membuka persoalan besar tentang kemampuan rakyat membina simpanan persaraan.

Jika pendapatan tidak mencukupi, bagaimana rakyat mahu membina simpanan KWSP yang kukuh?

Laporan DagangNews pada 3 November 2026 turut membangkitkan jurang besar simpanan KWSP antara Bumiputera dan kaum lain. Ini bukan isu untuk mempertentangkan kaum, tetapi gambaran bahawa kemampuan rakyat membina simpanan persaraan masih tidak seimbang.

AKAUN FLEKSIBEL BUKAN PENYELESAIAN UNTUK SEMUA

PGIRM mengambil maklum kewujudan Akaun Fleksibel KWSP yang membolehkan pencarum membuat pengeluaran bagi keperluan kewangan segera.

Namun, hanya 10% daripada caruman baharu diagihkan ke akaun tersebut. Bagi pencarum yang kehilangan pekerjaan, terputus caruman atau mempunyai baki terlalu kecil, kemudahan ini tidak semestinya mampu membantu mereka ketika berdepan kesusahan serius.

Jangan samakan kemudahan mengeluarkan baki yang tersedia dengan penyelesaian kepada pencarum yang sudah tidak mempunyai kemampuan untuk mencarum.

PGIRM TEGASKAN TIGA PERKARA

1. GAJI RENDAH, SIMPANAN RENDAH – Jangan salahkan pencarum kerana simpanan kecil sedangkan pendapatan mereka sendiri tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan.
2. JANGAN GUNAKAN ALASAN HARI TUA UNTUK MENUTUP KESUSAHAN HARI INI – PGIRM mengakui pengeluaran boleh mengurangkan baki simpanan dan dividen masa hadapan. Namun, larangan pengeluaran semata-mata tidak menyelesaikan masalah pencarum yang kehilangan pekerjaan atau menghadapi kesusahan serius.
3. BERIKAN PILIHAN YANG TERKAWAL – PGIRM mencadangkan mekanisme pengeluaran KWSP secara BERSASAR, BERSYARAT, TERHAD DAN TERKAWAL, berdasarkan penilaian keperluan sebenar serta perlindungan baki simpanan persaraan.

JIKA DITOLAK, APA PILIHAN KERAJAAN?

Kerajaan perlu menjawab apakah bantuan nyata untuk pencarum yang tidak lagi mampu mencarum, mempunyai baki Akaun Fleksibel terlalu kecil atau berdepan kesusahan kewangan yang serius.

PGIRM tidak menuntut pengeluaran bebas. PGIRM menuntut satu mekanisme yang adil dan terkawal, di samping pembaharuan gaji, peluang pekerjaan dan perlindungan sosial.

JANGAN HANYA MENJAGA SIMPANAN HARI TUA, SEDANGKAN PENCARUM TERPAKSA BERGELUT UNTUK HIDUP HARI INI!

AZMI MOHD TAHIR
Presiden
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM)
πŸ‘35❀6
PENCARUM KWSP, SUDAHKAH ANDA BERSEDIA JIKA UMUR PENGELUARAN SIMPANAN DINAIKKAN KEPADA 65 TAHUN?

Bank Dunia pernah mencadangkan dalam laporan tahun 2020 supaya umur minimum pengeluaran Akaun 1 KWSP dinaikkan secara berperingkat daripada 55 kepada 65 tahun.

Walaupun ia sekadar cadangan dan belum menjadi dasar kerajaan, persoalan ini perlu dibincangkan secara terbuka.

Persoalannya:

1. Adakah pencarum bersedia menunggu sehingga umur 65 tahun untuk mengakses simpanan sendiri?
2. Bagaimana pula dengan pencarum yang kehilangan pekerjaan, menghidap penyakit kronik atau tidak lagi mampu bekerja?
3. Apakah jaminan kerajaan terhadap keperluan hidup pencarum sepanjang tempoh menunggu tersebut?

PGIRM ingin mendengar suara pencarum.

Apakah pendapat anda? Adakah anda bersetuju atau membantah cadangan ini?

Apakah gesaan anda kepada kerajaan dan KWSP?

Bersuara sekarang. Ini soal simpanan, hak dan masa depan pencarum.

PGIRM – Suara Pencarum, Tuntutan Rakyat.
❀12😒6😱3
KEPADA PEMBUAT DASAR: LIHAT REALITI KEHIDUPAN PENCARUM SEBELUM UBAH DASAR KWSP!

Sebelum cadangan menaikkan umur pengeluaran KWSP kepada 65 tahun dipertimbangkan, kerajaan, MOF dan KWSP perlu menjawab persoalan berikut:

Apabila pencarum tidak mampu bertahan, apa pilihan mereka?

Antara realiti yang dihadapi sebahagian pencarum:

1. Terpaksa membuat pinjaman menggunakan simpanan KWSP sebagai sandaran.
2. Meminjam daripada pemberi pinjaman tidak berlesen.
3. Menanggung hutang, bayaran balik dan risiko disenaraihitamkan.

PGIRM ingin tegaskan:

- Simpanan hari tua memang perlu dilindungi.
- Tetapi kehidupan pencarum hari ini juga perlu dibela.
- Risiko hutang akibat kesempitan hidup tidak boleh diketepikan.
- Dasar KWSP perlu mengambil kira kemampuan sebenar pencarum untuk bertahan.

Jangan hanya ukur berapa banyak simpanan berjaya dikekalkan. Ukur juga berapa ramai pencarum yang mampu meneruskan kehidupan tanpa terjerumus dalam hutang.

PGIRM menggesa kerajaan, MOF dan KWSP menilai realiti ini serta membuka ruang dialog bersama wakil pencarum.

SIMPANAN HARI TUA PERLU DILINDUNGI, KEHIDUPAN PENCARUM HARI INI JUGA JANGAN DIABAIKAN!
πŸ‘31😒8
KENYATAAN MEDIA RASMI PGIRM

7 Nov 2026

PENCARUM BUKAN MEMINTA SIMPATI, MEREKA MENUNTUT KEPUTUSAN β€” SAMPAI BILA KERAJAAN MAHU MEMBIARKAN PERSOALAN INI TERGANTUNG?

Kuala Lumpur - Sejak 2021, PGIRM telah mengemukakan memorandum, kertas cadangan, mengadakan pertemuan dan menyuarakan tuntutan berkaitan keperluan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi membantu pencarum yang berdepan kesusahan hidup.

Namun, persoalan utama masih belum mendapat penjelasan tuntas: Apakah hasil penilaian kerajaan terhadap cadangan ini dan apakah keputusan sebenarnya?

PGIRM ingin menegaskan bahawa tuntutan ini bukan permintaan untuk membuka ruang pengeluaran simpanan KWSP secara bebas tanpa kawalan. Cadangan yang dikemukakan adalah berasaskan prinsip BERSASAR, BERSYARAT, TERHAD DAN TERKAWAL, dengan mengambil kira kelayakan serta perlindungan simpanan persaraan.

Kita memahami kepentingan KWSP sebagai simpanan hari tua. Namun, dasar perlindungan persaraan juga perlu mengambil kira realiti pencarum yang kehilangan pekerjaan, mengalami kemerosotan pendapatan, berdepan penyakit serius atau tidak lagi mempunyai kemampuan untuk meneruskan caruman.

Akaun Fleksibel dan bantuan sedia ada tidak semestinya menyelesaikan semua keadaan tersebut. Persoalannya, apakah penyelesaian dasar yang disediakan kepada pencarum yang benar-benar terdesak tetapi tidak memenuhi syarat atau tidak mendapat manfaat mencukupi daripada mekanisme sedia ada?

DOKUMEN SUDAH DISERAH, APA HASIL PENILAIANNYA?

Pada 11 September 2026, PGIRM telah menyerahkan kertas cadangan dasar kepada pihak Pejabat Perdana Menteri untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.

Pada 15 September 2026, PGIRM menerima surat rasmi yang mengesahkan penerimaan dokumen serta pemakluman bahawa perkara tersebut telah dirujuk kepada pihak berkaitan.

PGIRM menghargai pengesahan penerimaan tersebut. Namun, perlu dibezakan antara penerimaan dokumen, proses rujukan dan keputusan dasar.

Penerimaan dokumen bukan bermaksud cadangan telah diluluskan. Rujukan kepada kementerian atau agensi berkaitan juga belum menjawab persoalan sama ada cadangan itu telah dinilai, apakah dapatan penilaiannya dan apakah pendirian kerajaan.

LIMA PERSOALAN YANG MENUNTUT JAWAPAN

PGIRM mahu mendapatkan penjelasan rasmi terhadap lima perkara:

1. Adakah cadangan pengeluaran KWSP secara bersasar yang dikemukakan PGIRM telah dinilai secara menyeluruh oleh pihak kerajaan dan KWSP?

2. Apakah dapatan kajian dari sudut kesan terhadap simpanan persaraan, kedudukan kewangan KWSP dan kumpulan pencarum yang memerlukan bantuan?

3. Bagaimanakah kerajaan menangani nasib pencarum yang kehilangan pekerjaan, mengalami penyakit serius, kehilangan pendapatan atau tidak lagi mempunyai kemampuan mencarum?

4. Apakah status sebenar kertas cadangan yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri pada 11 September 2026?

5. Sekiranya cadangan PGIRM tidak dapat diterima, apakah alternatif dasar yang akan disediakan untuk membantu pencarum yang benar-benar terdesak?

PGIRM MENUNTUT PENJELASAN, BUKAN SEKADAR PENGESAHAN PENERIMAAN

PGIRM tidak meminta kerajaan membuat keputusan tanpa penelitian. PGIRM juga tidak menolak keperluan menjaga kelangsungan simpanan persaraan.

Tetapi penelitian tidak boleh dibiarkan tanpa penghujung. Kerajaan perlu menjelaskan sama ada cadangan ini sedang dinilai, telah ditolak atau memerlukan penambahbaikan. Jika terdapat kekangan teknikal dan kewangan, nyatakan secara terbuka supaya perbincangan dasar dapat diteruskan berdasarkan fakta.

PGIRM tidak mahu kertas cadangan hanya menjadi rekod penerimaan surat-menyurat. Setiap cadangan dasar yang menyentuh kehidupan pencarum wajar diberikan penilaian dan maklum balas yang sewajarnya.

Sampai bila pencarum perlu menunggu tanpa jawapan yang tuntas?

AZMI MOHD TAHIR
Presiden
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM)
#fyppppppppppp #Rakyatperlutahu #KWSPMestiJawab #HakPencarum #PengeluaranBersa
πŸ‘41
PENJELASAN PGIRM: STATUS MANIFESTO RAKYAT MELAKA 2026

Salam dan selamat sejahtera kepada semua pencarum, khususnya dari negeri Melaka.

Saya menerima banyak mesej yang bertanyakan perkembangan manifesto rakyat Melaka yang telah dihantar kepada pihak parti. Mengapa masih senyap? Apakah pendirian calon-calon?

Untuk makluman, penghantaran e-mel kepada pihak parti telah berjaya. Namun, sehingga kini PGIRM masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi.

PGIRM membantu dari belakang dalam penyediaan dan penyampaian manifesto tersebut. Usaha bertemu calon DUN bagi mendapatkan pendirian mereka pula dikendalikan oleh kumpulan pencarum yang terlibat dalam kempen berkenaan.

Oleh itu, PGIRM tidak boleh memberikan jawapan bagi pihak parti, calon atau kumpulan tersebut.

Kami memahami harapan dan kekecewaan pencarum. Namun, PGIRM tidak akan membuat andaian atau mereka-reka jawapan yang belum diterima.

PGIRM telah melaksanakan bahagian tanggungjawabnya. Perjuangan bersama memerlukan komitmen dan kesinambungan daripada semua pihak, bukan semangat bermusim.

DATA BUKAN EMOSI. PENDIRIAN PERLU DIREKODKAN, BUKAN DIREKA-REKA.

AZMI MOHD TAHIR
Presiden PGIRM
πŸ‘29😒3
KENYATAAN MEDIA RASMI PGIRM

BILA CADANGAN LAIN DIBAWA KE PARLIMEN, MENGAPA CADANGAN PGIRM MASIH TERGANTUNG?

12 November 2026

Kuala Lumpur - Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) mempersoalkan kedudukan kertas cadangan dasar yang telah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO), sedangkan perkembangan terbaharu menunjukkan kerajaan melalui Kementerian Kewangan sedang meneliti cadangan peluasan Skim i-Sayang KWSP susulan pertanyaan YB Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Ampang, di Dewan Rakyat pada 11 November 2026.

Kerajaan memaklumkan bahawa cadangan peluasan i-Sayang kepada isteri bukan warganegara akan diteliti oleh KWSP dengan mengambil kira aspek perundangan, perlindungan simpanan persaraan, tadbir urus dan kemampanan program.

PGIRM tidak mempertikaikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan cadangan atau hak kerajaan meneliti sesuatu dasar.

Tetapi persoalannya, bagaimana pula dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh PGIRM?

Untuk rekod:

- 11 September 2026: PGIRM menyerahkan kertas cadangan dasar pengeluaran KWSP secara bersasar kepada PMO.
- 15 September 2026: PMO mengesahkan penerimaan dan memaklumkan dokumen dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan serta pihak berkaitan.
- 12 November 2026: PGIRM masih belum menerima maklum balas substantif mengenai hasil penelitian atau pendirian kerajaan.

Sehubungan itu, PGIRM menuntut penjelasan terhadap tiga perkara:

1. Adakah kertas cadangan PGIRM telah dinilai oleh Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan?
2. Apakah dapatan serta pendirian kerajaan terhadap cadangan yang dikemukakan?
3. Jika proses penilaian masih berjalan, apakah status sebenar dan bilakah maklum balas rasmi akan diberikan?

PGIRM ingin menegaskan bahawa kertas cadangan tersebut bukan sekadar pandangan umum, sebaliknya mengandungi mekanisme pengeluaran bersasar, bersyarat, terhad dan terkawal bagi menangani keperluan pencarum yang berhadapan kesempitan hidup.

Kerajaan tidak wajib menerima setiap cadangan yang dikemukakan. Namun, kerajaan perlu memberikan penjelasan tentang kedudukan cadangan yang telah diterima melalui saluran rasmi.

JANGAN SAMPAI CADANGAN PENCARUM HANYA MENJADI DOKUMEN YANG DITERIMA, TETAPI TIDAK DIKETAHUI APA KESUDAHANNYA.

PGIRM mahu jawapan yang jelas, bukan sekadar pengesahan penerimaan dokumen.

Persoalan ini bukan mengenai kepentingan PGIRM sebagai sebuah pertubuhan. Ini mengenai ruang dan kesediaan kerajaan mendengar cadangan rakyat yang menyentuh kepentingan jutaan pencarum KWSP.

AZMI MOHD TAHIR
Presiden
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM)
😒17❀2
Berikut adalah linkΒ² rasmi media sosial PGIRM.

1. Channel Rasmi Telegram
https://t.me/PGIRM

2. Group Telegram Bersama Pencarum
https://t.me/+YoHjPt-b_HFlMjI1

3. FB - PERTUBUHAN GAGASAN INOVASI RAKYAT MALAYSIA OFFICIAL
https://www.facebook.com/share/197YGC4QLj/

4. Tiktok - PGIRM OFFICIAL
https://www.tiktok.com/@pgirm.org?_r=1&_t=ZS-97qy4oFBFQr
πŸ‘6
CHANNEL BAKAL AHLI PERTUBUHAN GAGASAN INOVASI RAKYAT MALAYSIA pinned Β«Berikut adalah linkΒ² rasmi media sosial PGIRM. 1. Channel Rasmi Telegram https://t.me/PGIRM 2. Group Telegram Bersama Pencarum https://t.me/+YoHjPt-b_HFlMjI1 3. FB - PERTUBUHAN GAGASAN INOVASI RAKYAT MALAYSIA OFFICIAL https://www.facebook.com/share/197YGC4QLj/…»