Ust Abdul Halim Abdullah (Channel)
1.81K subscribers
186 photos
9 videos
6 files
268 links
Us. Abdul Halim Abdullah
Download Telegram
HIDUP DIPANDU AL-QURAN

Saya amati di antara kehebatan Abu Bakar As-Siddiq ra adalah dia amat menghayati Al-Quran dalam setiap detik kehidupan dan peristiwa.

Manakala kehebatan para Sahabat ra adalah apabila kena Al-Quran pada tempatnya, di depan mereka, mereka akan terus akur, tunduk dan menyerah, sebagai satu taklimat tegas dan putus dari Allah swt.

Antara kelemahan umat Islam kita hari ini adalah :

1- Ramai mereka yang tidak memahami bahasa Al-Quran.

2- Jika ada yang belajar bahasa Al-Quran, ramai mereka tidak memahami mesej nya dan kegunaan nya seharian.

3- Jika ada yang memahami mesejnya, belum tentu mereka melaksanakannya, lantaran terikut dan terikat dengan hawa nafsunya. "Allah sesatkan mereka dengan ilmu" (Al-Quran).

4- Ramai umat Islam tidak rasa terikat untuk tunduk sepenuhnya kepada ayat ayat Quran. Apabila mendengar pandangan Al-Quran, mereka masih lagi hendak membandingkannya dengan pandangan pemimpin mereka, ahli politik, tokoh kesayangan mereka dll makhluk. Mereka akan buat pilihan mereka sendiri.

Apabila Rasulullah saw wafat, ia suatu goncangan dahsyat di Madinah. Mereka berkata, "Tiada hari paling cerah berkilau selain hari tibanya Nabi saw ke Madinah semasa Hijrah. Tiada hari paling gelap dan murung di Madinah selain hari wafatnya Nabi saw".

Umar Al-Khattab ra menghunus pedang ingin memancung kepala sesiapa yang berkata Rasulullah saw telah wafat. Katanya, "Nabi hanya pergi sebentar bertemu Allah, seperti Nabi Musa as bertemu Allah 40 hari".

Konflik hampir berdarah itu tiada penyelesaian. Tiada sahabat yang berani menyangkal Umar sehinggalah Abu Bakar As-Siddiq masuk ke kamar Nabi saw, mengambil kepastian bahawa Nabi saw telah wafat, kemudian keluar dan menyebut firman Allah saw :

(وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ)

bermaksud, "Tidaklah Muhammad itu melainkan (hanya) seorang rasul. Adakah jika dia MATI atau terbunuh, kamu akan berpaling tadah kembali (menjadi kufur). Siapa yang berpaling tadah, dia tidak akan dapat memudharatkan Allah sedikitpun. Allah akan membalas (baik) terhadap orang-orang yang bersyukur".

Umar Al-Khattab berkata, "Seolah-olah aku tidak pernah membaca ayat ini (yakni tak perasan Allah berfirman Nabi "mati"), lalu Umar akur bahawa Nabi saw benar-benar telah wafat. Demikian sahabat akur kepada Al-Quran dalam sekelip mata. Konflik tamat serta merta.

Demikian kehebatan Abu Bakar As-Siddiq ra memegang Al-Quran dalam ingatan dan sanubarinya, hingga dia boleh menggunakan Quran di setiap peristiwa.

Kita mendambakan anak-anak kita dan pendakwah-pendakwah berkualiti Quran seperti ini. Seperti mana Quran di dada Abu Bakar mampu menamatkan konflik sesama Sahabat, begitu juga Quran boleh menamatkan konflik sesama umat Islam hari ini. Yang penting :

1- Ramai orang yang mampu menguasai mesej Al Quran ke tahap sepertimana Abu Bakar menghayatinya.

2- Seperti Umar, masyarakat kita akur tunduk patuh apabila Quran dibacakan di depan mereka.

Us Abdul Halim Abdullah
1 Dis 2018
FB kembalikan artikel saya tepat 2 tahun lalu (2016) sempena Persidangan Agung Umno (PAU) yang sedang berlalu masa itu.

Ia nasihat ikhlas dan lembut dari saya untuk sebuah organisasi yang semakin reput dek kerana pemimpin gerabak yang lari dari landasan. Akhirnya semua gerabak turut tergelincir. Pepatah asing mengatakan "ikan mula reput busuk dari bahagian kepalanya".

Tak sampai 2 tahun selepas itu, Umno dihukum umat dan kalah PRU buat kali pertama dalam 61 tahun sejarah negara Malaysia berpilihanraya. Susulan dari itu, seorang demi seorang pemimpin nya diheret ke muka pengadilan.

Tidak dinafikan ramai ahli Umno yang berjuang ikhlas. Saya mengenali Dato Rahmah dari Rembau. Semasa seruan membiayai Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut Kemerdekaan, Dato Rahmah menafkahkan gelang emasnya. Dia tinggal di rumah murah sepanjang hidupnya hingga menghembuskan nafas terakhir.

Namun sunnah Allah terhadap mana-mana umat, negara dan organisasi tetap tidak akan berubah. Pimpinan rosak akan membawa kekalahan dan kehancuran.

———————

PAU & SAQIFAH BANI SAADAH

Perhimpunan atau Mesyuarat Agung di zaman ini persis (tepat) menyamai Ijtimak para Sahabat ra di dewan Saqifah Bani Saadah, Madinah untuk memilih Khalifah, saat jenazah Nabi saw masih belum selesai disempurnakan.

Suasana dalam sesuatu Perhimpunan Agung sebenarnya adalah salah satu petanda atau penunjuk samada sesebuah organisasi itu sedang menaik dan melonjak, atau ia sedang menurun dan merudum.

Ketika peristiwa pemilihan di Saqifah Bani Saadah, Islam sedang menaik. Bahkan 10 tahun selepas itu, Madinah mengalahkan Kuasa-kuasa Besar Rom dan Parsi, lalu menjadi kuasa besar dunia yang baru.

Dari suasana di Saqifah Bani Saadah, petanda organisasi para Sahabat ra sedang menaik dan berkembang (berbanding organisasi yang sedang merudum) adalah seperti berikut :

1- Perbincangan yang serius dan merasakan besarnya perkara-perkara yang dibincangkan. Umar Al-Khattab ra hampir bertarung dengan golongan Ansar.

2- Kekuatan hujjah mengatasi bias kepuakan. Pada mulanya kaum Ansar, majoriti atau hampir kesemua di dalam Dewan hendak memilih Saad bin Ubadah ra sebagai Khalifah. Namun, setelah mendengar hujjah Abu Bakar As-Siddiq ra, mereka nampak kekuatan hujjah beliau lalu mereka akur.

3- Calon mencalonkan calon lain. Abu Bakar As-Siddiq ra mencalonkan Umar Al-Khattab ra dan Abu Ubaidah Al-Jarrah sebagai Khalifah. Umar Al-Khattab ra mencadangkan Abu Bakar sebagai Khalifah. Ini kemuncak zuhud pangkat yang saya dapati dalam sejarah.

Ini menunjukkan mereka tahu besarnya tanggungjawab dan kerdilnya diri mereka. Namun, apa yang sejarah menunjukkan kepada kita ? Kedua-dua mereka (Abu Bakar dan Umar) membawa Umat Islam di zaman itu menjadi Kuasa Besar dan pemimpin Dunia.

4- Setelah pemilihan Abu Bakar sebagai Khalifah, kesemua Sahabat ra memberikan bai'ah (allegiance) kepada beliau, dan para Sahabat ra kembali bertaut, berukhuwwah dan bersatu semula. Kesemua Sahabat ra mendokong Khalifah tanpa berbelah bagi. Mereka terlibat dalam memerangi golongan Murtad, di bawah arahan Abu Bakar ra tanpa ragu-ragu atau berdendam.

5- Khalifah berucap dengan tawadhuk bahawa dia bukan yang terbaik dari kalangan para pemilih. ولست بخيركم (Aku bukan yang terbaik dari kalangan kamu).

Petanda negara atau organisasi sedang merudum adalah lawan kepada noktah-noktah dalam Pehimpunan Agung di atas iaitu :

1- Tidak serius, tiada agenda penting yang hendak dibahaskan. Gelak ketawa, bincang hal-hal perniagaan atau keduniaan mewarnai suasana.

2- Pandangan puak sendiri lebih utama dari hujjah-hujjah pandangan puak yang lain. Keputusan-keputusan telah dirancang awal mengikut puak masing masing, tanpa mengambilkira hujjah-hujjah puak lain.

3- Calon berusaha menjatuhkan calon-calon lain, agar dia kekal di kerusinya selama masa yang boleh.

4- Setelah proses pemilihan tamat, perpecahan jiwa atau bendera terus berlaku, malah berlaku pertembungan dari masa ke semasa.

Selamat bersidang.

Us Abdul Halim Abdullah
2 Dis 2016 (Arkib)
AIR MUKA ISLAM

Akhirnya Kerajaan Italy mendapati dalam siasatan mereka, bahawa yang membunuh warganya, Regeni di Iskandariah pada tahun 2016 adalah pihak berkuasa Mesir sendiri, dan bukannya 5 orang pemuda Mesir yang telah dihukum mati "kerana membunuh Regini". Mayatnya ditemui dalam longkang dengan kesan siksaan di tubuhnya.

Dalam isu Khoshaggi tahun 2018 ini, akhirnya siasatan mendapati beliau dibunuh dalam bangunan Konsulat Saudi di Istanbul, dan bukannya beliau "telah keluar dari bangunan Konsulat setelah selesai urusannya" seperti kenyataan resmi yang disiar oleh pihak Konsulat berkenaan. Mayatnya telah dipotong-potong dan dilupuskan.

Diantara persamaan dalam kedua-dua kes adalah :

1- Siasatan lanjutan tidak mendapat kerjasama sepatutnya dari pihak berkuasa Mesir dan Saudi.

2- Siasatan mendapati pihak berkuasa terlibat dan hukuman tidak melalui sebarang proses keadilan. Mayat tidak dipulangkan kepada ahli keluarga dengan baik. Sebaliknya yang berlaku adalah hukum dan campak. Itu sahaja.

3- Kes melibatkan berbagai negara, kerana kerakyatan mangsa, kerakyatan pembunuh dan tempat kejadian adalah dari negara berbeza. Ini mengundang reaksi masyarakat antarabangsa.

Apabila panglima Musa bin Nusair, Tariq bin Ziyad dan tentera Islam membuka Eropah bermula dari Andalus (Spain) kurun ke 8M dulu, mereka dijemput oleh penduduk Eropah demi menyelamatkan mereka dari kezaliman pemerintah-pemerintah Kristian di sana. Zaman itu keadilan Islam di Arab menjadi idaman penduduk Kristian di Eropah.

Setelah pembukaan Eropah, dan Islam bertapak selama 800 tahun, Eropah belajar dan melaksanakan sistem keadilan yang mereka pelajari dari Islam untuk kemaslahatan rakyat mereka hingga ke hari ini.

Malangnya hari ini Barat melihat berbagai bentuk kezaliman berlaku di dunia yang menggelar mereka "Islam". Tindakan demi tindakan penguasa Muslim ke atas rakyat Muslimnya tidak langsung mencerminkan keadilan yang telah mereka kenal dan ceplak dari Islam di Andalus 1300 tahun yang lalu.

Duat dan pihak berkuasa Islam mesti mengukur di baju sendiri dan menilai sejauh mana mereka telah mencerminkan Islam dalam urusan mereka. Ini untuk kejayaan mereka sendiri dalam membawa agenda Islam di dunia.

Tanpa kita mempamirkan Islam dalam organisasi kita, "manhaj perjuangan kita tidak selari dengan manhaj Islam itu sendiri, kita tidak akan dapat mencapai kemenangan hakiki yang Islam kehendakki" (Sayyid Qutb), jauh sekali kita diharapkan dapat menyelamatkan insan dari penindasan, dalam keadaan kita sendiri penindas yang menindas.

(أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ)
"Adalah kamu menyuruh manusia melakukan kebajikan, sedang kamu lupa diri kamu sendiri, padahal kamu membaca Al-Quran. Kamu tak fikir ke ?" (Al-Baqarah).

Us Abdul Halim Abdullah
6 Disember 2018
ASAS ISLAM ADALAH QURAN & HADIS

Dengan kemudahan internet dan media sosial, umat Islam boleh membaca semua pandangan dari berbagai orang. Ada positifnya.

Namun kesan negatifnya pula adalah ramai mereka yang keliru kerana ustaz ni kata lain, manakala ustaz tu pula kata lain.

Lihat sahaja dalam isu "Kalimah Allah" suatu masa dahulu.

Sebenarnya sebab kekeliruan timbul datangnya kedua-dua belah pihak, ustaz dan orang awam :

1- Ramai ustaz mengeluarkan pendapat berdasarkan atau terikat dengan keputusan parti politik pilihan atau keputusan pimpinan masing-masing.

2- Orang awam pula tidak peka kepada ayat Quran apa, kalau ada, yang digunakan. Mereka hanya berpada dengan pandangan ustaz berkenaan, atau fatwa ulamak tersohor yang digunakan oleh ustaz tersebut, tanpa kritis terhadap nas Quran atau Hadis apa yang digunapakai.

Islam tidak tertegak atas pandangan individu semata-mata. Islam tegak atas Quran dan Hadis. Individu yang boleh kita sandarkan pula, adalah berdasarkan sejauh mana dia dapat datangkan nas Quran dan Hadis yang paling tepat atau sesuai dalam menjawab sesuatu isu. Bukan dia beri pandangan dia sendiri semata-mata, walau setinggi mana kelulusannya.

Kalau individu itu quote kata-kata ulamak tersohor sekalipun, maka ulamak tersohor itu adalah ulamak yang dapat mendatangkan nas Quran dan Hadis mana yang paling tepat dan sesuai dalam menjawab sesuatu isu yang sedang dibincangkan.

BUDAYA KRISTIAN

Sebab utama pengikut Kristian tersesat adalah kerana mereka mengikut pandangan paderi dan pendita mereka, tanpa kritis dan serius merujuk kepada Bible.

Bible telah banyak diselewengkan isinya. Akan tetapi jika mereka peka dan serius merujuk saki baki isi Bible, mereka akan dapat sedikit sebanyak info sahih yang Ahmad Deedat dan Zakir Naik ceramahkan.

Budaya Kristian sejak berkurun dulu hingga sekarang adalah mereka kurang mentelaah Bible. Malah paderi mereka sendiri kurang mentelaah Bible. Mereka banyak mengeluarkan pandangan mereka sendiri sahaja, lalu diikuti oleh orang-orang lain.

Adakah budaya Kristian mula menjadi ikutan ramai umat Islam ?

Kita mengajak umat kita agar mengambil berat tentang nas-nas Quran dan Hadis dalam berbicara, atau ketika membaca dan menganalisa pendapat para ustaz dalam pasaran. Bandingkan nas-nas yang digunapakai oleh ustaz A berbanding nas-nas yang dipakai oleh ustaz B.

Bukan sekadar menerima pandangan Ustaz A kerana dia dari kem kesukaan kita. Atau terus menerus menolak pandangan Ustaz B kerana dia di kem lain.

Apabila budaya sahih ini - merujuk kepada nas-nas Quran dan Hadis - tersebar dalam masyarakat, maka pandangan dan pendirian Islam yang sahih dapat mendominasi dan mewarnai masyarakat.

تركت فيكم شيئين لن تضلوا بعدهما ما تمسكتم بهما، كتاب الله وسنتي ...
"Aku tinggalkan pada kamu 2 perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh akan kedua-duanya. (Ia adalah) Kitab Allah dan Sunnah ku ..." (Hadis Sahih).

Us. Abdul Halim Abdullah
11 Dis 2018
BERPOLITIKLAH CARA ISLAM

Saya dapat rasanya Umat dalam dilemma mutaakhir ini. Ibarat ditelan mati ayah, diluah mati ibu.

Ketika makan selepas tahlil tadi pun, imam surau mendekati saya dan bertanya tentang suasana politik mutaakhir ini.

Ia adalah perasaan dan kesudahan semulajadi dan dijangka, kerana selagi kehidupan politik dan ahli-ahli politik Umat jauh dari jalan Islam yang ditunjukkan oleh Nabi saw, selagi itulah Umat tidak akan rasa tenteram dan selamat.

Apa sahaja perbuatan, baik solat, puasa atau haji, jika dilakukan tepat dan sempurna mengikut apa yang ditunjukkan Nabi saw, maka ia memberikan suatu macam ketenangan, kepuasan dan kenikmatan pada diri pembuatnya.

Begitulah juga politik, kuasa dan pemerintahan akan dirasai keberkatan dan kepuasan nya jika pelakunya mengikut apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw dan Al-Quran dari permulaan di Gua Hirak, hingga tertegaknya Negara Islam di Madinah dan wafatnya Rasulullah saw.

Kita bukan tidak ada panduan nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis di depan kita. Tidak kurang ribuan kitab-kitab Siyasah Syariyyah (Politik Islam) yang ditulis oleh para ulamak Islam pewaris Nabi saw sepanjang zaman.

Namun, kepentingan peribadi dan godaan dunia telah banyak mengheret duat dan manusia jauh dari panduan-panduan Islam yang suci, lalu terikut-ikut ikut rentak, gaya dan budaya politik Barat yang tidak berkesudahan.

(وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ)
"Allah berjanji kepada orang-orang beriman dan beramal soleh dari kamu, sungguh Dia akan mengangkat mereka jadi pemimpin di dunia ini, seperti Dia telah mengangkat pemimpin-pemimpin sebelum mereka. Dia akan teguhkan Agama mereka untuk mereka. Dia ubah ketakutan mereka jadi aman. Mereka beribadah kepada Aku, tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu. Siapa yang kufur selepas itu, mereka adalah orang-orang fasik" [Surah An-Nur 55].

Us Abdul Halim Abdullah
20 Disember 2018
BENCANA ALAM : WAHYU VS LOGIKA

Bila bencana alam berlaku seperti tsunami di Palu, tsunami di konsert di Indonesia beberapa hari lalu, gempa bumi di Pakistan dsb., sebahagian ulamak mengambil kesempatan itu dengan memberi peringatan kepada masyarakat akan bahaya maksiat dan dosa, yang boleh mengundang murka Allah dan bencana alam dariNya di dunia, sebelum datang azab dariNya di Akhirat.

Mereka berdalilkan wahyu dari ayat-ayat Quran. FirmanNya :

(فَقَدْ كَذَّبُوا بِالْحَقِّ لَمَّا جَاءَهُمْ ۖ فَسَوْفَ يَأْتِيهِمْ أَنْبَاءُ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ * أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ)

"Sungguh mereka mendustakan Kebenaran bila datang kebenaran kepada mereka....Tidakkah mereka melihat berapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, padahal Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian *Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka*, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
[Surah Al-An'am 5 - 6]

(وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا ۙ وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ)
"Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu *semasa mereka berlaku zalim* padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. *Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan*".
[Surah Yunus 13]

Dari ayat pertama di atas, Allah binasakan mereka kerana dosa-dosa (maksiat) mereka.

Dari ayat kedua di atas, Allah binasakan mereka kerana kezaliman dan kesalahan mereka.

Kisah-kisah bencana alam, disulami dengan ayat-ayat Quran mengenai bencana alam, memberi kesan besar kepada masyarakat sepanjang zaman. Ia juga telah memberi kesan kepada para Sahabat ra, di mana pernah Madinah dilitupi awan gelap, lalu mereka berpusu mencari Rasulullah saw, khuatir azab Allah menimpa mereka disebabkan kesalahan mereka. (Rujuk hadis fadhilat membaca 3 Qul).

Namun kita dapati ada ahli agama hari ini yang cuba menafikan hubungan bencana alam dengan maksiat yang dilakukan manusia. Di antara hujahnya adalah :

1- Syirik adalah dosa terbesar. Kenapa bencana alam berlaku di Indonesia, negara majoritinya penduduk beragama Islam. Maksud beliau, kenapa tak kena di England atau Perancis yang lebih banyak syirik !!

2- Dosa riba lebih besar dari konsert. Maksud beliau kenapa tsunami serang pengunjung di konsert di Indon hari tu, dan tak serang bangunan bank-bank riba.

3- Kubur jenazah muslim digali semula dan didapati hangus kerana beliau makan riba. Maksud beliau kenapa kubur-kubur orang kafir di England ada yang tak hangus, sedangkan mereka makan riba lagi kufur kepada Allah.

4- dan lain-lain hujah akal.

Jawapan nya :

1- Kita beri peringatan kepada umat Islam dengan menggunakan ayat-ayat Quran tertentu dan mengaitkan bencana alam, untuk mereka lebih terkesan dan lebih beringat.

2- Samada tsunami hari tu berlaku kerana dosa atau konsert ikhtilat hari itu, atau kerana dosa-dosa yang lain, itu hanya Allah swt sahaja yang mengetahui. Kita bukan tuhan yang boleh tahu tsunami hari itu berlaku kerana dosa hari itu.

3- Kita juga bukan tuhan yang boleh mengatakan "bencana itu bukan berlaku kerana dosa itu" , atau mengatakan "jelas bahawa maksiat bukan punca bencana alam". Siapa kita yang boleh mengait atau menafikan perkaitan itu ?

4- Hak dan ilmu Allah, kita serah kepada Allah. Jangan masuk campur.
5- Menjelaskan ayat-ayat Quran menggunakan kisah-kisah dahulu kala atau kisah-kisah semasa adalah dituntut, selagi kita jaga keterbatasan dan kekurangan diri dan ilmu kita sebagai hambaNya.

6- Quran adalah dalil. Apa yang berlaku di London, New York dll bukan dalil. Hujah bencana alam tak berlaku di London, tidak menafikan 2 firman Allah di atas, kerana :

(i) bencana yang tidak berlaku di London hari ini, tidak mustahil boleh berlaku esok.
(ii) bencana datang dalam berbagai bentuk, bukan terhad kepada tsunami atau bencana alam tertentu sahaja.

Kita menyeru kepada para agamawan agar berhati-hati dalam berbicara dan sentiasa mendekatkan masyarakat kepada Al Quran dan pengajarannya. Elakkan menggunakan logika akal semata-mata tanpa asas wahyu. Quran adalah Kitab yang tiada keraguan padanya dan petunjuk kepada orang-orang bertaqwa.

Us Abdul Halim Abdullah
26 Dis 2018
PERJUANGAN ISLAM

Perjuangkan Islam dengan kata-kata, tidak sesukar memperjuangkannya dengan hidup dan menghayati ajaran dan manhaj Islam itu sendiri.

Sayyid Qutb dalam tulisannya هذا الدين berkata tidak akan menang, kecuali gerakan Islam yang bertepatan di antara (1) perjuangannya, dengan (2) penghayatan Islam oleh gerakan tersebut.

Dengan kata lain, sejauh mana perjuangan gerakan Islam itu bertepatan dengan manhaj Islam itu sendiri.

Kisah tentera Islam kalah di Uhud dan firman Allah mengenainya ada petunjuk.

Sedikit sahaja kita lari dari Manhaj Ilahi, pada hakikatnya kita kalah, seperti kalahnya para Sahabat ra di Uhud.

Bezanya, kekalahan mereka cepat nampak - 70 syuhadak termasuk Hamzah Abdul Mutalib, Mus'ab bin Umair dan Abdullah bin Jahsy ra, Nabi saw berlumuran darah, tentera Islam terpaksa lari dan naik ke Bukit Uhud menyelamatkan keadaan.

Sedang kekalahan kita di zaman ini boleh tampak hanya bila kita amati seperti tidak menang, berantakan, dipimpin golongan fasik, atau tidak kesampaian ke mana-mana. Kalau pun nampak "menang", ia bukan jenis kemenangan dunia Akhirat yang Islam telah tunjukkan di Madinah yang Allah swt telah gariskan dalam Quran.

Allah beri kekuatan, bantuan dan kemenangan sebenar hanya kepada tentera-tenteraNya sahaja.

(... ۚ كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ ۚ وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ)

bermaksud, "... Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja ... ".

Us Abdul Halim Abdullah
31 Dis 2019
TAHFIZ 2019

Mengidamkan anak dan generasi hafiz Quran bukan sekadar kerana nak anak jadi baik, atau nak ikut orang lain hantar anak mereka ke Tahfiz. Ia lebih jauh dari itu.

Kemuncaknya kita mahukan insan yang hidup dan berjuang dengan pedoman Quran dalam dirinya, dan menyuluh jalan untuk manusia lain ikuti. Bukan sekadar ikut-ikut orang lain.

Ini dicapai melalui 1-menghafaz Quran, 2-menguasai Bahasa Arab peringkat tertinggi, 3-menghafaz Hadis dan Seerah yang memang menjelaskan Quran, 4-menyuci jiwa dan hati agar berlaku amanah dan tidak mempergunakan Agama dan Quran, 5-memahami kaedah tafsir serta method mengeluarkan hukum dan pengajaran dari Quran, 6-berjuang dan menghadapi fitnah dan bala bencana sehingga memahami suasana dan kenapa Quran diturunkan, serta menggilap hati dari karat keduniaan.

Hari ini kita tidak kurang bilangan para hafiz dan ustaz, tetapi kita kekurangan Duat yang layak dan ikhlas, berkualiti tinggi pada ruh, hati dan jiwanya, serta mampu ambil pedoman Quran untuk memandu diri dan masyarakat sekelilingnya, tanpa menjual Agama.

Selamat masuk tingkatan 1 Maahad Tahfiz As-Solihin kepada anak saya, Maryam Halim. Syukur dan tahniah kerana berjaya dalam saringan dari berpuluh calon lain. Jika boleh cuba khatam dalam masa 2 tahun, insyaAllah.

Jzkk kepada para guru dan kakitangan sekolah lamanya, Maahad Tahfiz Imtiyaz, Perak, atas sumbangan besar kalian. Sekolah terbaik. Cuma jarak terasa jauh bila usia meningkat.

Harapan dan doa kami, moga lahir seorang lagi hafiz Quran dan Dai'yah berkualiti tinggi dalam rumahtangga kami. Itulah sebaik-baik aset dan warisan. Ameen.

Us Abdul Halim Abdullah
2 Jan 2019
KAYA DUNIA, MISKIN DUNIA AKHIRAT

Bandar Hims حمص terkenal kerana kemiskinan dan banyak masalah. Ribuan orang miskin menjadi cabaran utama. Khalifah Umar Al Khattab ra memilih seorang sahabat bernama, Said bin Amir menjadi Governor (Menteri Besar) yang baru di sana.

Said menolak tawaran jawatan itu, tetapi Umar tetap memaksanya. Umat mengenal rijal (orang yang layak).

Setelah berlalu masa, Khalifah Umar Al-Khattab ra menghantar penyiasat ke sana untuk mendapat lapuran terkini.

Penyiasat kembali bertemu Umar Al-Khattab ra di Madinah dan berkata, "Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang miskin", sambil menghulurkan senarai mereka. Umar bersyukur tetapi terkejut dan terharu bila didapatinya nama "Said bin Amir", seorang menteri besar, ada dalam senarai rakyat termiskin, sedang rakyatnya telah menjadi senang.

Kisah itu berlaku di Zaman Kegemilangan Islam. Zaman di mana 2 kuasa besar dunia, Rom dan Parsi, kalah, tunduk dan terpaksa membayar Jizyah kepada Islam.

Adapun di zaman fitnah hari ini, ramai Umat Islam dan pemimpin mereka jauh dari ajaran Islam sebenar, sambil tunduk hina kepada Kapitalis Barat dan Komunis Timur. Wang petroleum umat Islam dirompak oleh Kuasa-kuasa Besar by hook or by crook. Itu miskin Dunia namanya.

Ramai pemimpin besar umat Islam membolot kekayaan negara dan gagal mentadbir, dengan pemimpin-pemimpin kecil rela hina disumbat dedak. Maka berlaku jurang amat besar antara yang kaya dan yang miskin, hingga ada keluarga yang tinggal di reban ayam (lampiran).

Saya masih ingat satu berita dalam akhbar suami isteri dan anak-anak yang menumpang tinggal di bangsal jirannya. Anak-anak mereka keluar mencari kangkong di longkang-longkang untuk dibuat makanan.

Kita kena kembali kepada ajaran Islam sebenar, samada ketika solat di tikar sejadah, maupun ketika berpolitik di pilihanraya dan di Parlimen. Jawatan "pemimpin" dalam Islam adalah kesengsaraan dan penyesalan di Hari Kiamat (Hadis). Anehnya itu menjadi rebutan. Itu miskin Akhirat namanya.

Us Abdul Halim Abdullah
4 Jan 2019
TABIAT JALAN

Ramai tidak benar-benar memahami tabiat jalan Dakwah yang mereka lalui. Diantara kesannya, mereka pelik kerana terasa jalan itu panjang, lambat menang, bosan menunggu lama. Akhirnya mereka memilih untuk hidup seperti kehidupan orang awam biasa.

Tidak kurang ada yang menyangka ia jalan yang mudah, dihiasi bunga, tiada ranjau dan duri. Tiba-tiba mereka disergah oleh realiti yang berlawanan dari apa yang disangkanya, lalu dia rebah.

Oleh itu kita memerlukan persiapan Islam dari awal dan kenal apa itu "Jahiliyah" yang kita hadapi disepanjang jalan ini.

Kita harus bangga memikul amanah para Anbiyak ini, dan yakin Islam yang diperjuangkan akhirnya akan menang.

(ۚ وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰ أَمْرِهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ)
"Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ..."

Us. Abdul Halim Abdullah
6 Jan 2019
BANGLADESH MENDUNG

Semalam, sekali lagi Sheikh Hasina mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Bangladesh bagi penggal ke 4 setelah "menang 288 dari 300" kerusi Parlimen. Lakonan pilihanraya di Bangladesh masih tidak berubah.

Ini bermakna tiada perubahan ketara pada nasib umat Islam di Bangladesh bagi beberapa tahun ke depan di aspek politik. Bangladesh akan terus berada di bawah cengkaman Kuasa Besar British yang mendokong Hasina, dan pengaruh Kuasa Besar India, negara jiran yang mengikat beliau.

Gerakan-gerakan Islam terus ditindas. Pemimpin-pimimpinnya dihukum gantung sampai mati dan ada yang masih "dalam perbicaraan".

Rakyat terus dibelenggu kemiskinan dan jutaan yang bertebaran mencari rezeki di luar negara.

Di Vatican City, Rome, Italy, ramai penganut Kristian beratur panjang hingga ke luar gereja menunggu giliran masuk untuk bertemu Pope. Bila hari hujan, saya dapati yang menjual payung £5 sekaki, kepada orang-orang yang sedang beratur di luar itu, adalah penjual-penjual muslim Bangladesh.

Muslim menjual payung kepada orang-orang Kristian yang sedang beratur panjang dalam hujan di luar gereja, untuk menziarahi Pope. Menyedihkan !

Di akhir zaman fitnah ini, Hadis menyatakan umat Islam dipimpin oleh مكوك جبابرة (pemimpin-pemimpin diktator). Mereka menipu, menindas, berpura, berkepentingan diri, memberi dan menerima dedak.

Moga Allah selamatkan kita dari mereka, dan dari menjadi seperti mereka. Ameen.

Us. Abdul Halim Abdullah
8 Jan 2019
GERABAK vs KERETAPI

Kelmarin melayani syabab yang datang berkunjung ukhuwah. Di wajah-wajah mereka terpancar keghairahan berjuang untuk Agama ini.

Antara noktah yang boleh dikongsikan bersama adalah :

Memang suatu yang tabie, setiap kumpulan manusia seronok dapat bersama sesama mereka dari masa ke semasa. Firman Allah swt ( ۖ كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ) bermaksud, "Setiap kumpulan bergembira dengan apa yang ada pada mereka". Ia ibarat kita bergembira berada dalam salah satu gerabak keretapi, di dalamnya ada makanan lazat, kerusi empuk lagi selesa, serta kemesraan para penumpang dan kenalan untuk bersembang.

Cuma isunya adalah jauh lebih besar. Ia bukan sekadar isu gerabak, dan seronok berada di dalamnya semata-mata.

Ia adalah isu keretapi. Ke arah mana keretapi itu menghala. Adakah ke arah destinasi yang Islam mahu, atau ke destinasi-destinasi lain ?

Contoh : Ramai ahli Umno di kampung dan pendalaman hidup gembira sesama mereka (seperti dalam gerabak) dengan berbagai aktiviti Kemas, Jkkk, kuliah ibu, yasin & tahlil dsb selama puluhan tahun. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kekalahan. Kalaulah mereka prihatin terhadap halatuju keretapi sejak awal lagi, nescaya keretapi selamat dan mereka juga selamat. Namun, nasi dah jadi bubur.

(وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ)
"Ini jalanKu yang lurus, kamu ikutilah ia. Jangan kamu ikut jalan-jalan lain, lalu kamu berpecah dari jalanNya ...".

Us Abdul Halim Abdullah
18 Jan 2019
PERTARUNGAN MANHAJ

Perjuangan antara manusia adalah pertarungan manhaj lawan manhaj, bukan sekadar parti lawan parti, atau slogan lawan slogan.

Jika manhaj kita terkeluar dari Islam, kita tak akan menang dan tak ke mana. Bagaimana Allah nak memenangkan mereka yang tidak memperjuangkan manhajNya.

Dalam kisah Perang Uhud banyak pengajaran. Hanya segelintir Sahabat cinta kepada dunia menyebabkan semua Sahabat kalah perang.

Kerana itu kezaliman ظلم, ketidakadilan جور, pembohongan افتراء, fitnah بهتان , dedak رشوة, keangkuhan كبر, asabiyah jahiliyah dan sewaktu dengan nya adalah resepi lengkap yang menjanjikan kekalahan dan kemusnahan di dunia, sebelum tiba giliran azab pedih di Akhirat. Nauzubillah.

Us Abdul Halim Abdullah
21 Jan 2019
KELAS TAHFIZ DI SEK MEN BIASA

Malam ini pelancaran Kelas Tahfiz di sekolah anak. Walaupun ia bukan sekolah agama sepenuhnya namun kesedaran Tahfiz Quran kini tersebar ke sekolah-sekolah harian biasa. Syukur.

Positifnya, akan lahir para Huffaz di kalangan pelajar-pelajar arus perdana (aliran sains, sastera, akaun dsb.) dalam negara.

Alangkah baiknya jika diperkasakan sama Bahasa Arab di semua sekolah di Malaysia sehingga ia seiring English sebagai bahasa kedua di Malaysia.

Jika boleh, yang terbaik adalah Malaysia jadi seperti Andalus (Sepanyol) dimana bahasa resmi negaranya pernah berubah kepada Bahasa Arab selama 800 tahun.

Ini adalah kerana gabungan Hafaz Quran dan Bahasa Arab memberi kesan besar kepada seseorang. Imam Al-Banna berkata dalam Usul 20, "يفهم القران طبقا لقواعد اللغة العربية من غير تكلف ولا تعسف" bermaksud, "Al-Quran difahami melalui kaedah-kaedah Bahasa Arab tanpa memberat atau meringankan (penggunaan kaedah-kaedah tersebut)".

Namun, di tengah-tengah arus Tahfiz Quran mula melanda Malaysia seperti MRSM Ulil Albab, Sek Sains Integrasi (Tahfiz) dll, masih ramai ibu bapa termasuk duat sendiri yang masih enggan menghantar anak anak mereka ke kelas Tahfiz 30 Juzuk. Elok mereka ubah fikiran segera sebelum terlambat.

Moga anak-anak kita dapat menghafaz Quran dengan baik, disamping belajar subjek-subjek lain yang mencabar. Ameen.

Us. Abdul Halim Abdullah
31 Jan 2019