Ustaz Syamil Esa
2.37K subscribers
136 photos
17 videos
150 links
Perkongsian beberapa makna kehidupan dan pengalaman dalam mendalami erti fikrah, tarbiah dan harakah.

@syamilesa
Download Telegram
Di setiap sisi dan waktu, nenek sentiasa bersama menyokong dengan setia perjuangan atuk ketika itu. Mereka hidup dengan serba sederhana, menyara anak 17 orang dengan gaji sebagai guru agama, tukang masak di kantin dan peneroka.

Ketika pengebumian semalam, saya diberikan amanah untuk mengendalikan majlis tahlil dan talqin di kubur. Semua yang hadir mendengar dengan khusyuk setiap perkataan yang diungkapkan dalam talqin.

Saya memberitahu semua hadirin bahawa malam pertama di alam barzakh adalah antara malam yang paling menggerunkan. Justeru talqin yang dilakukan adalah sebagai persediaan bagi arwah menghadapi alam barzakh yang akan dilaluinya selepas ini.

Semoga roh nenek sentiasa dinaungi rahmat dan keampunan Tuhan. Tiada yang mengenali nenek melainkan semuanya akan berkata bahawa nenek adalah seorang ibu yang berjuang, memartabatkan agama, menyayangi keluarga, dan sentiasa istiqamah di jalan perjuangan hingga ke akhir hayat (hatta dapat anugerah Ibu Istiqamah oleh PAS Johor).

Moga kita dipertemukan dalam keadaan yang sejahtera di negeri abadi.

Al-Fatihah.
----
Ikuti catatan di t.me/ustazsyamilesa
Buku bersifat 'healing' tidak membina kerangka pemikiran

Suatu hari saya bertanya kepada salah seorang sahabat junior, yang baru nak memulakan perjalanannya dalam kehidupan sebagai seorang yang mahu terlibat dalam gerakan dakwah.

Saya : Sekarang ini enta baca buku apa ?

Beliau : Saya baca buku ********** dan sekian-sekian.

Saya : Oo, buku-buku yang enta sebut ini bersifat 'healing' dan ia adalah satu genre yang tidak membina pemikiran. Ia boleh jadi merawat kedukaan, kelukaan, emosi dan seumpamanya, tapi ia bukan di tahap membina satu kerangka pemikiran.

Saya setelah itu pinjamkan kepadanya buku Himpunan Risalah Al-Banna sebagai bahan permulaan.

Saya katakan : Buku-buku pemikiran ini biasanya bersifat berat dan memerlukan usaha yang tidak sedikit untuk memahaminya. Hasilnya juga lumayan iaitu suatu kerangka kefahaman yang berstruktur, tersusun dan boleh dibina idea-idea lain di atasnya. Adapun buku-buku yang bersifat motivasi, 'healing' dan terapi, ia adalah ibarat ubat yang menyelesaikan masalah penyakit tertentu, tetapi tidak membawa kita kepada satu perubahan cara fikir, yang lebih besar dan lebih sempurna.

Justeru, inilah juga yang saya biasa sampaikan. Jika kita mahu berfikir besar, usaha kita kena besar, sabar juga kena besar. Baru hasilnya besar.

Jika kita hanya berpada pada buku-buku berbentuk 'healing', motivasi dan terapi, kita ibarat hanya memakan panadol bila pening kepala, tetapi meninggalkan gaya hidup sihat.

Saya berpegang bahawa pembinaan satu struktur pemikiran yang jitu tidak akan terbina dengan genre buku yang ringan, tetapi ia adalah hasil telaah buku-buku yang besar dan berat, digabungkan dengan perbincangan dan talaqqi dengan ahli-ahli yang berpengalaman dan berkepakaran, melalui satu proses tazkiyah dan tarbiyah yang panjang, serta dihidupkan dalam pembuktian di medan amal yang sebenar.

Demikianlah baru terhasilnya satu 'pemikiran' yang hidup untuk mendepani cabaran semasa, yang akan membuahkan buah-buah yang ranum pada masanya.

"Pohon (tauhid) itu akan memberikan buahnya, pada setiap masa dengan izin Tuhannya" - Surah Ibrahim, ayat 25

Wallahua'lam bissawaab.
---
Ikuti catatan di t.me/ustazsyamilesa
Gaza sedang kebuluran, umat tidak tahu apa peranan.

Saudara kita di Gaza hari ini sedang dibunuh dengan kebuluran dan genosid.

Negara-negara Islam sedang melihat dengan pelbagai respons dan reaksi.

Pimpinan negara Islam samada masih menimbang maslahat mudarat, atau memikirkan kedudukan politik mereka, atau apa jua alasan untuk justifikasi tindakan mereka.

Umat Islam tidak tahu bagaimana mahu berperanan sewajarnya selain berdoa dan menyumbang pada saluran yang dipercayai, di samping menyatakan kebersamaan pada takat yang mampu.

Inilah bahananya orde dunia hari ini. Jiran dibunuh, dirompak dan diperkosa, tapi kita tak boleh buat apa-apa secara terus terhadap kerosakan itu.

Tangan, kaki, mulut, duit dan segala kemahuan dan keupayaan kita diikat, daripada melakukan satu perkara yang kita mahu.

Walau apa pun yang berlaku, kita semua akan dipersoalkan di hadapan Allah terhadap nasib saudara mara kita di sana.

Moga kita ada jawapan untuk persoalan itu.

Allahumma nasrak. Allahumma sallim.
Kesatuan destinasi tidak menafikan kepelbagaian peranan dan dimensi

Agama ini dijaga dua jenis manusia : Mujahid & Mujtahid

Tanpa mujahid, kedaulatan tanah air akan hilang.
Tanpa mujtahid, kefahaman agama akan songsang.

"Dan bagi setiap manusia ada 'wijhah' yang ditujuinya, maka berlumbalah dalam perkara-perkara kebaikan. Di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan mendatangkanmu secara sekaligus kesemuanya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu" - Surah Al-Baqarah, ayat 148

Wallahua'lam bissawaab.
---
Ikuti catatan di t.me/ustazsyamilesa
JEMPUTAN SIRI 7 | MAJLIS KHATAM BACAAN KITAB

As salamualaikum wbt,

Saidina Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

من مات ولم يغز ولم يحدث به نفسه مات على شعبة من نفاق

"Barangsiapa yang meninggal dunia sedangkan tidak pernah ikut berperang (jihad), dan tidak pernah pula bercita-cita dalam dirinya untuk itu, maka ia mati atas salah satu cabang kemunafikan."

(Riwayat imam Muslim, Abu Daud, an-Nasaie)


Dengan itu, sukacita Institut Ulama al-Juwaini menjemput Tuan/Puan bagi menghadiri majlis bacaan kitab seperti berikut:

Kitab: Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mukminin fi Fadhail al Jihad wa Karamat al Mujahidin
Karangan: Syeikh Abdul Somad al-Falimbani
Penyampai: Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Tempat: Institut Ulama al-Juwaini, Bangi Sentral
Tarikh : 12 Ogos 2025 (Selasa)
Masa: 11.30am-1.00pm

Semua dijemput hadir, penyertaan adalah percuma.

Lokasi:
https://maps.app.goo.gl/DAo6Fu1btu7UHiUp6
Suatu pagi di tepi taman

Suatu hari saya parkir kereta sebelah satu kereta Myvi. Kereta lama yang saya bawa, saya terbuka pintunya kuat sedikit hingga tercalarkan sedikit pintu Myvi di sebelah.

Walaupun saya lihat keretanya pun memang dah banyak calar, selain daripada calar dari pintu saya, namun saya pilih untuk bertanggungjawab.

Oleh kerana kawasan itu terlalu luas, dan saya tidak temui pemiliknya, saya tulis nota dan beritahu saya akan bertanggungjawab, saya lukiskan di atas kertas, menunjukkan kesan calar di keretanya dan letakkan nombor saya untuk dihubungi.

Petang itu muncul satu nombor tak dikenali. Seorang wanita yang menyatakan beliaulah pemilik kereta Myvi itu.

Wanita : Ini encik Ahmad ke?

Saya : Ya saya. Puan empunya kereta Myvi ke?

Wanita : Ya. Sayalah empunya kereta. Kenapa encik tak tengok betul-betul ketika buka pintu? Encik suka ke orang lain buat begitu pada kereta encik? (Dan beberapa ayat lain yang saya pun lupa).

Saya : Saya minta maaf sebab saya memang tak sengaja. Kalau ada apa-apa bayaran diperlukan saya boleh lunaskan. Saya tinggalkan nota itu sebab saya tak mahu dituntut di akhirat nanti.

Wanita : Encik ni, lain kali tengok lah betul-betul. Tak patut encik buat macam ni.

Saya : Saya minta maaf ye puan.

Wanita : Encik dah kahwin ke?

Saya yang tak faham kenapa soalan itu ditanya terus menjawab : 'Of courselah' saya dah kahwin.

Wanita : Oh... 'of courselah' ya. (nada sinis). Oklah takpa. Assalamualaikum.

Wanita itu terus meletak telefon, menimbulkan serba sedikit tanda tanya.

Sekian cerita pada satu waktu pagi, di tengah-tengah Jalan Ampang.

Kesimpulannya, biasanya lelaki yang bertanggungjawab sudah dimiliki isteri. Kehidupannya berumahtangga itulah yang mendidiknya jadi begitu. Jadi janganlah nak cari yang sempurna sebelum berkahwin, kahwinlah untuk saling menyempurnakan.

Wallahua'lam bissawaab.
---
Ikuti catatan saya di t.me/ustazsyamilesa
Ujian itu hakikatnya berlaku pada keyakinanmu, bukan kebendaanmu.

"(Dialah) yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk mengujimu siapakah yang paling baik amalannya" - Surah Al-Mulk, ayat 2

Ya, Dia menguji manusia bukan dengan melihat siapa paling kaya atau miskin. Ini kerana segala kebendaan di atas muka bumi ini adalah milik-Nya jua. Dia boleh menjadikan orang jahat itu kaya, dan orang baik itu miskin.

Kaya dan miskin, sihat dan sakit, lapang dan sibuk, tua dan muda, kesemuanya adalah silih bergantinya kehidupan dunia yang mengikuti putaran rodanya, atas paksinya yang tersendiri.

Ya, Tuhan tidak nilai kita, uji kita untuk kita jadi 'kebendaan' itu, kerana 'kebendaan' itu adalah aturan-Nya.

Tuhan nilai pada keyakinanmu, keteguhanmu, kesabaranmu, sangka baikmu, ketulusanmu, biar apapun yang berlaku, Tuhan lihat sisi itu, dan kamu diberi pahala atas sisi itu.

Ya. Tuhan lihat apa yang benar-benar kamu. Apa hakikatmu. Bukan benda-benda lain, yang hanya jadi perhiasanmu, solekanmu, dan topengmu.

Demikianlah kenapa Tuhan suruh kita beribadah dengan khusyuk, tulus dan ikhlas, kerana ibadah yang begitu yang akan meningkatkan 'kualiti' keyakinan kita.

Hinggalah keyakinanmu itu memandang, sama sahaja, tua dan muda, miskin dan kaya, susah dan senang, sibuk dan lapang, kerana kesemua nilai 'kebendaan' yang teknikal itu adalah 'pemberian Tuhan' jua, yang tidak sekalipun jadi 'tempat pandang Tuhan' yang menentukan darjat dan kedudukan seseorang.

Ketika itu, semuanya sudah tidak lagi benar-benar berharga, melainkan apa yang diberikan harganya oleh Tuhan.

Ketika itu, barulah hamba itu akhirnya mengaku, bahawa dia benar-benar hamba Tuhan, bukan hamba kepada pemberian Tuhan.

Adapun jika belum begitu, maka sembahlah Tuhanmu, hingga datangnya keyakinan itu.

Wallahua'lam bissawaab.
Yang 'real' adalah yang bila engkau 'tutup mata', ia akan tetap kekal bersamamu.

Suatu hari saya berkongsi mengenai hakikat kehidupan manusia dalam tadbir Tuhan. Saya tanya kepada audiens, apa hakikat yang sedang berlaku?

Lalu masing-masing menjawab dengan perspektif masing-masing. Secara umumnya semua menjawab jawapan yang menyatakan fenomena zahir yang sedang dialami, dilalui oleh masing-masing.

Saya nyatakan, apa sahajq perihal zahir yang disebutkan, ia semua adalah drama sahaja. Ada naik turunnya, pasang surutnya, dan seumpamanya. Ya, ia adalah drama, dan bukan hakikat sesuatu perkara yang sedang berlaku sekarang.

Saya nyatakan suatu hakikat yang berlaku adalah kita sedang berjalan dengan 'roh' kita menuju ke alam abadi.

Hakikatnya juga kita sedang dilekakan oleh syaitan dan kuncunya untuk melalaikan kita daripada kesedaran perjalanan 'abadi' itu.

Hakikatnya juga kita tidak memberikan hak yang betul kepada perkara 'real' itu, sewajarnya, bahkan kita menganggap segala drama dunia adalah sebuah 'hakikat' dan perjalanan 'roh' yang abadi itu pula sebuah perkara bersifat 'drama', 'superfisial', 'ritual' dan tidak relevan dengan rencam hiruk pikuk kehidupan.

Saya nyatakan, yang 'real' itu real bukan kerana saya kata, tapi Tuhan yang sebut;

"Harta dan anak-anak hanyalah perhiasan dunia. Dan yang al-Baqiyat as-Salihat (amalan soleh yang kekal) itulah lebih baik ganjaran di sisi Tuhan dan lebih baik dijadikan cita-cita" - Surah Al-Kahfi

Ia bukan sekadar 'real' di akhirat atau selepas mati, ia juga sudah 'real' di dunia lagi. Ia akan menemanimu, membelaimu, mendorongmu, dan bahkan menolongmu.

'Realiti' itu perlu dibina. Dibaja dan disuburkan. Hingga ia menjadi pohon yang berbuah pada bila-bila masa ia diperlukan tuannya.

Selain daripada itu, semuanya hanyalah drama semata-mata. Berikan perhatian sekadarnya, berikan tenaga dan fikiran seadanya, tetapi ia tidak selayaknya menjadi 'humum' (concern) yang menggelisahkan seharian hingga tak boleh buat apa-apa.

Ibadah yang subur akan menyelamatkan manusia daripada kelesuan dan kemurungan dunia. Ini kerana dunia adalah tempat ujian, memang tabiatnya memenatkan, menyukarkan, menyakitkan dan menyedihkan. Jika manusia tidak dihidupkan jiwanya dengan perasaan ubudiyyah yang sedar, dunia akan menjadi neraka yang membawa kemurungan yang berpanjangan.

Atas sebab itu, langkah pertama dari kemelut ini adalah mengenalpasti sesuatu yang 'real' lalu meletakkan sebagai paksi kehidupan, bukan drama-drama yang berubah-ubah dan tidak konsisten.

Itulah tujuan ibadah. Membina paksi kekuatan jiwa, lalu mampu menjadikannya tenang dengan Pencipta, kewujudan mutlak yang sempurna, hakiki dan tidak berubah-ubah.

"Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau (wahai Muhammad) sempit dada dengan apa yang mereka nyatakan. Maka bertasbihlah kepada Tuhanmu dan jadilah di kalangan orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, hingga sampainya keyakinan itu" - Surah Al-Hijr

Ya, segala perasaan sedih dan duka akan sirna, dalam hadhrah ilahiyah (kebersamaan Tuhan). Ibadah yang disaran adalah suatu latihan yang perlu. Yang pada awalnya sebagai taklif dan tugasan, hingga apabila sampai kepada suatu peringkat, ia digarap sebagai suatu isyarat dan kecintaan, melangkaui arahan Tuan, kerana ia ketika itu adalah 'jelingan' Kekasih, yang mengikat manusia dengan sesuatu yang pasti, sebuah keyakinan yang hakiki.

"... hari di mana tidak bermanfaatnya harta dan anak-anak. Melainkan sesiapa yang menghadap Tuhan dengan hati yang sejahtera" - Surah As-Syuaraa'

Wallahualam bissawaab.
Malam ini gerhana bulan, dan bulan akan bersinar kemerahan.

Bersempena dengan sambutan Maulid Nabi SAW, saya merasakan bahawa Rasulullah SAW sangat gusar dengan apa yang berlaku pada umat Islam hari ini.

Marilah kita bermunajat dan melakukan solat sunat gerhana malam ini, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Inilah sunnah yang ditinggalkan Rasulullah SAW dalam menghadapi peristiwa gerhana, samada bulan atau matahari.

Wallahua'lam bissawab.
Jika tak habis di dunia, sambunglah menghafaz di alam barzakh

Inilah salah satu pesanan saya kepada seorang sahabat yang datang meminta pandangan saya mengenai jalan menghafaz Al-Quran dan menuntut ilmu yang beliau ingin tempuhi.

Saya nyatakan bahawa kehidupan mukmin tidak terhenti di dunia, bahkan ia akan bersambung di akhirat, bermula seawal alam barzakh yakni alam kubur.

Mungkin sesetengah orang akan mempersoalkan relevansi menghafaz Al-Quran ketika umur sudah meningkat 30, 40-an dengan komitmen keluarga dan kewangan, serta rutin harian yang berbeza dengan pelajar maahad yang menghafaz sepenuh masa, tidak berkahwin dan dibiayai ibubapa atau pihak tertentu.

Ia akan membawa kepada persoalan berapa lama masa yang diperlukan, dan adakah sempat ketika hidup untuk menghafaz Al-Quran?

Saya nyatakan, jika tidak sempat pun ketika hidup di dunia, sambunglah di alam barzakh nanti.

Jangan ingat kehidupan di barzakh hanya bersama Munkar dan Nakir. Ia hanya satu episod daripada pelbagai episod di alam barzakh.

Roh para mukmin akan dihimpunkan dengan orang yang sekufu dengannya. Dan roh para penuntut ilmu akan dihimpunkan bersama sesama mereka.

Saya nyatakan, jika di dunia kita boleh bertalaqi dengan sheikh-sheikh yang masih hidup dan tasmik hafazan dengan mereka, demikian juga di alam barzakh.

Masyayikh yang telah pergi lebih ramai, lebih hebat, bahkan boleh tasmik dengan qurra' sahabat secara terus seperti Ibnu Mas'ud, Zaid bin Thabit, Ubayy bin Kaab RA jika kita bersekali dalam kelompok ahli Al-Quran.

Tiada apa yang boleh menghalang kemahuan kita untuk menghafaz Al-Quran, melainkan alasan-alasan yang dibina oleh tabiat, syaitan dan nafsu kita sendiri.

Wallahua'lam bissawaab.
Atukku dalam kenangan

Alhamdulillah sampai di tanganku hari ini buku yang ditulis makcikku, Dr Wahibah Tahir, kisah perjalanan hidup atukku yang menghabiskan masanya dalam pendidikan umat, menggabungkan pendidikan ilmu agama dan penglibatan politik umat.

Di mana sahaja beliau berada, pasti berkhidmat samada mengasaskan madrasah, menjadi guru agama, membina perniagaan, menyatukan pihak yang bertelagah, terlibat dalam politik dan seumpamanya.

Anak-anak cucu beliau berada pada pelbagai jenama gerakan Islam.

Ya, bagi saya beliau benar-benar memahami erti hidup sebagai seorang manusia yang sejati. Beliau telah menjawab persoalan kewujudan dengan cukup sempurna. Tidak meninggalkan sebarang persoalan dalam hidupnya melainkan semuanya dijawab dengan penuh tekun, kemas dan indah sekali.

Orang yang tahu mahu mati sebagai apa, akan tahu untuk hidup bagaimana.

Dapatkan naskhah ini di https://terbuangtapiterbilang.onpay.my/order/form/1

Jika ada masalah boleh contact Dr Wahibah Tahir.

Wallahua'lam bissawaab.
Istilah maqasid syariah sepatutnya digunakan dengan lebih berhati-hati, bukan sekadar membenarkan keputusan politik

Mana-mana pemimpin yang mengkhianati umatnya samada dengan persekongkolan dengan pihak luar atau seumpamanya, hakikatnya telah hilang keabsahannya (mandat dan syar'iyyah) sebagai pemimpin.

Oleh itu mana-mana keputusan yang dibuatnya ketika ini tidak akan benar-benar berdiri atas syariah, apatah lagi mendakwa ia menepati maqasid syariah.

Keputusan yang paling menepati maqasid syariah hari ini adalah yang membawa umat kepada mendokong perjuangan umat mempertahankan jatidiri dan tanah suci mereka, tidak berkompromi dalam apa jua tawaran pihak musuh yang hanya merugikan pihak pembebasan.

Saya sendiri berpandangan bahawa :

"Apabila berlakunya perselisihan pandangan, maka rujuklah ahli tsughur (para mujahidin), kerana pandangan mereka lebih mendapat hidayah.

Wallahua'lam bissawaab.
Sepertimana Engkau menjadikan rahmat-Mu mengatasi kemarahan-Mu,

Izinkan aku jadikan keyakinanku (kepada-Mu), mengatasi segala kudrat dan kemampuanku.

Bimbing dan pimpin daku, bersesuaian rahmat dan ihsan-Mu, bukan berkadaran hakikat diriku dan kelayakanku.

Kerana, rahmat-Mu mengatasi kemarahan-Mu.
Sanjungi juga para wira yang mula-mula hidupkan isu P sejak lebih 20 tahun yang lalu

Saya ucapkan tahniah kepada para peserta Sumud Flotilla dan selamat pulang ke tanah air. Moga usaha anda dikira sebagai salah satu jalan-jalan pembebasan P pada masa akan datang. Mudah-mudahan ia dikira sebagai jih4d walau apa jua martabatnya.

Saya juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa:

Jasa mereka yang telah bertungkus lumus menghidupkan agenda pembebasan P di Malaysia sejak sekian lama, yang memakan masa, tenaga, keringat dan cita-cita mereka, sewajarnya lebih dihargai dan disanjung sebagai wira negara.

Merekalah yang mula menghidupkan isu P dalam rangka pembebasan, melangkaui isu kemanusiaan. Hakikatnya isu kemanusiaan tidak akan mampu berdiri seteguh ini, sehebat ini, jika bukan kerana di dalam lubuk hati para pejuang P dan umat Islam, bahawa isu P adalah isu akidah dan perjuangan agama.

Tapi apakan daya, manusia hanya melihat apa yang zahir, 'wow', dan 'berimpak besar', berbanding kerja yang 'dilihat' runcit, pelan-pelan, dan berjangka masa panjang.

Namun tak mengapa, sepanjang sejarah perkenalan saya dengan mereka, para pejuang ini sudah biasa tidak di'highlight' atau dimasyhurkan. Mereka hidup dengan mudah dan sederhana, berdiri atas tujuan agama, punyai visi yang jelas dan gerakerja tersusun, jaringan yang cukup luas, dan kekuatan jiwa yang kental untuk teruskan kerja-kerja mereka, walau apa badai jua yang mendatang.

Mudah-mudahan kita terus tetap dan teguh mengangkat panji perjuangan ini, tanpa tersilau dengan sebarang 'pertempuran tepian' yang hanya memecahbelahkan ummah daripada kesatuan membebaskan bumi P yang mulia.

Wallahua'lam bissawaab.
Assalamualaikum wbt.

Pihak Markaz Juwaini Mesir dengan kerjasama Majlis Muafakat Anak-Anak Pahang Mesir (MIFTAH), berbesar hati untuk mengadakan sesi tausiah bersama al-fadhil Ust Ahmad Syamil bin Esa, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Ulama Juwaini, bertajuk cabaran dan pengalaman dalam menyiapkan pengajian Sarjana (Master), Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau merupakan graduan Sarjana Syariah Islamiah dalam bidang Usulfiqh (MA Syariah Islamiah), Universiti Al-Azhar pada tahun 2021, dengan taqdir Mumtaz.

Berikut merupakan butiran program -
▫️Tajuk : Cabaran & Peluang dalam menyiapkan pengajian Master di Al-Azhar
🗓️ Tarikh : Khamis (9 Okt 2025)
🕰️ Masa : 5.00pm - 7.30pm
⭕️ Tempat : Dewan Wisma Pahang, Awal sabik


*Terbuka kepada mahasiswa umum (Khusus tahun 3-4 & Calon Master)

Semoga kita mengambil istifadah daripada majlis ini.
Bank Islam atau tidak Islam ?

Saya punyai pandangan tersendiri dalam isu ini. Tapi biarlah ia dibincang pada tempatnya yang sesuai, medium yang sesuai dan audiens yang sesuai.

Namun apa yang saya boleh sebut mengenai isu ini :

Sejauhmana dan sedalam mana pun tasawwur seseorang terhadap sesuatu perkara, apabila dia berfatwa yakni memberikan pandangan hukum kepada sesiapa, ia tetap terikat dengan kaedah-kaedah fatwa.

Menyatakan hakikat sesuatu perkara itu baik, namun jika tidak dibawa bersamanya fatwa praktikal untuk diamalkan oleh orang awam, dengan meraikan suasana setempat, implikasi dan keadaan orang itu sendiri, hanya akan menambahkan kebingungan daripada kesedaran.

Saidina Ibnu Umar RA pernah berfatwa bahawa seseorang pembunuh tidak diterima taubatnya, kerana melihatkan situasi penanya soalan itu penuh kemarahan.

Jika dinilai secara ilmiah, ia bercanggahan dengan ijmak umat bahawa semua taubat boleh diterima tanpa pengecualian (kecuali jika roh sudah di kerongkong).

Namun apabila diselidiki rupanya yang bertanya itu sedang bergaduh dengan jirannya, jika Ibnu Umar RA menyatakan taubat pembunuh boleh diterima, dikhuatiri akan membawa kepada pembunuhan.

Inilah tugas para ulamak dalam memberi pandangan syariah a.k.a fatwa kepada masyarakat.

Para ulamak yang berautoriti hakikatnya bertanggungjawab terhadap amalan orang awam. Orang awam pula dalilnya adalah para ulamak.

Atas sebab itu ia pewaris Nabi SAW, kerana ia menggantikan peranan nubuwwah dalam dalil syarak.

Saya lihat perlunya para ulamak melihat isu ini secara serius dan tertutup agar tidak mencambahkan kekeliruan, di samping diraikan segala aspek-aspek pemfatwaan tadi.

Kuncinya, saya cadang dahulu untuk jangan terikat dengan status-quo (keadaan sedia ada) dalam pengamalan kewangan, cuba kita bebaskan diri dari kerangka sedia ada. Kita cuba cari dan lakukan eksplorasi bagi menemui jalan yang benar-benar membawa suara hati umat Islam, dan benar-benar membina kekuatannya secara tersendiri, tidak bergantung kepada sistem kapitalis dan kekangan bank dunia.

InsyaAllah, jika kita semua diberikan taufiq Allah, semuanya jadi mudah.

Wallahua'lam bissawaab.
Kunci menerima takdir adalah keyakinan

Kunci penerimaan takdir adalah kita meyakini bahwa alam ini hakikatnya ditadbir Tuhan Yang Maha Kuasa, Maha Bijaksana dan Maha Mengasihi.

Sebagai makhluk tiada apa yang paling berbaloi dilakukan melainkan meletakkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada segala tadbir dan takdir yang Tuhan jalankan pada kita.

Setelah penerimaan itu berlaku, keajaiban demi keajaiban akan terjadi.

Walaupun pada hakikatnya, penerimaan kepada takdir itu juga sendiri sudah merupakan suatu karamah dan keajaiban.

Moga Allah merahmati dan membaikkan husnuzzon kita pada-Nya.
Perjuangan hingga ke akhir hayat, atau sambung berjuang selepas mati ?

Suatu hari saya diziarahi oleh sahabat-sahabat yang lebih muda, inginkan perkongsian mengenai kemenjadian dan tarbiyah anak-anak muda. Perkongsian santai sekitar isu bahan usrah, metod penyeliaan dan juga beberapa perkara mengenai firasat murabbi yang tak kurang pentingnya dalam pembawaan tarbiyah.

Satu persoalan yang ditimbulkan mereka, apabila ada yang menyebut : "Kenapa anak buah asyik tak nak berubah ? Macam-macam cara dah buat"

Lalu saya timbulkan satu kenyataan :

"Jangan ingat kita hanya ada masa yang singkat sahaja untuk berjuang dan mendidik. Jangan memaksa kejayaan itu pada masa yang diberikan pada kita sahaja. Jangan paksa perubahan anak buah ketika kita yang jaga dia."

Lalu saya menyatakan satu kaedah :

"Jangan ingat kita hanya boleh berjuang / berdakwah / mentarbiyah ketika kita hidup sahaja".

Sahabat-sahabat lain bertanya :

"Habis tu, lepas mati macamana nak berjuang ?"

Saya jawab (dengan izin dan taufiq daripada Allah) :

"Untuk menjawab persoalan ini, perlu beberapa poin yang difahami:

1. Tidak sedikit pejuang yang hasilnya dituai selepas kematiannya, atau dengan kematiannya. Contoh kisah Ghulam Dakwah yang mana hanya dengan kematiannya baru satu kampung memeluk Islam. Contoh lain, berapa ramai para anbiya' yang juga ketika hidupnya, anak buahnya tidak pun mencapai KPI dan kejayaan yang ditentukan. Contoh seperti Nabi Musa AS, baginda AS wafat ketikamana Bani Israel tersesat di Tursina tak jumpa jalan masuk ke Bumi Yang Suci (Baitul Maqdis).
Jadi, memaksa kejayaan semata-mata waktu kita hidup, adalah suatu yang di luar sunnatullah dalam perjuangan ini.

2. Setelah mati, kita juga boleh berjuang. Ini juga menuntut dua sudut kefahaman yang seiring :

Yang pertama iaitu sudut kefahaman yang zahir: Apabila kita mati nanti, buah-buah fikiran kita akan menjadi penyambung riwayat perjuangan. Berapa ramai tokoh-tokoh yang ideanya mula dikenali selepas berapa tahun atau puluhan atau ratusan tahun selepas kematiannya. Karyanya mula dikenali, buah fikirannya menjadi perdebatan dan perbahasan hingga dipegang oleh pihak-pihak yang bersetuju dengannya.

Yang kedua iaitu sudut kefahaman yang batin: Apabila roh meninggalkan jasad kita, jika seseorang itu beriman dan muslim dan tiada sekatan di alam kubur, hakikatnya roh itu lebih bebas bekerja dan beramal, berbanding keterikatan dengan jasad yang terikat dengan alam mulk (alam yang zahir - jasad) di dalam dimensi ruang dan masa ini.
Jadi dengan roh yang bebas, mereka boleh menjadi agen-agen perjuangan di alam barzakh dengan pelbagai cara, antara memasuki mimpi-mimpi orang soleh yang masih hidup, memberikan inspirasi, nasihat dan panduan dari alam hakiki, berdoa di alam barzakh untuk barisan para mujahidin, atau ada satu riwayat yang menyatakan bahawa para roh syuhada' berjuang bersama para mujahidin di dalam badan burung-burung yang berterbangan di medan peperangan.

Bukankah itu juga maksudnya, berjuang selepas mati ?

Sahabat-sahabat yang hadir mungkin faham, mungkin tidak faham, tapi saya kira itulah salah satu cetusan yang berbaloi untuk saya rekodkan di mukabuku ini. Saya nyatakan syarat untuk mendapat kemuliaan itu adalah dengan mewakafkan diri di medan perjuangan ketika hidup lagi, dan berniat untuk digunakan Allah SWT pada setiap masa dan ketika.

InsyaAllah dengan 'qasd mujmal' (niat yang melingkupi semua sudut kehidupan) ini, Allah akan memandu kita kepada apa yang Dia redhai.

Pertemuan santai itu tamat sekitar jam 2.30 pagi.

Demikianlah sedikit catatan, dalam memahati memori perjuangan ini.

Wallahua'lam bissawaab.
Rumah di syurga lebih dikenali berbanding di dunia

"Demi yang jiwa Muhammad (SAW) di tangan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kamu lebih mengenali rumahnya di syurga berbanding di dunia" - HR Bukhari

Suatu renungan yang wajar dilihat, iaitu bagaimanakah seseorang itu lebih mengenali rumahnya di syurga, sedangkan dia tidak pernah ke syurga, dan tidak pula pernah memahami bagaimana rumahnya dibina di syurga.

Walaupun ia boleh dijelaskan dengan satu ayat Al-Quran dalam surah Muhammad ayat ke-6 yang berbunyi :

"Dan Dia memasukkan mereka (orang beriman) ke syurga, Dia yang memperkenalkannya kepada mereka"

Namun tidak salah jika kita memahami bagaimana cara Tuhan memperkenalkannya kepada hamba-Nya, dengan melihat beberapa petunjuk daripada hadis-hadis Nabi SAW terhadap apa yang berlaku selepas mati.

Saya menyatakan, dengan izin Allah SWT :

Apabila manusia meninggal dunia, dan memasuki alam barzakh, segala amalan-amalannya yang sebelum ini adalah makhluk rohani yang ghaib, kini mula terzahir dan boleh dicerap dengan pancaindera roh di alam barzakh.

Al-Quran akan menjadi temannya, amalan-amalan soleh akan menjadi perkakas dan peralatannya di alam kubur, serta pelbagai perkara yang boleh menjadi syafaat dan pembantunya dalam mengharungi alam kubur.

Pelbagai hadis menunjukkan bahawa amalan-amalan ini akan menjadi zahir, dari alam barzakh hinggalah ke alam sirat, dan akan terus ke alam syurga. Istighfar boleh menjadi pemadam api, tasbih boleh menjadi sepohon kurma, solt rawatib menjadi istana, sedekah boleh melajukan perjalanan di mahsyar, dan di sirat, dan seumpamanya.

Ini kerana bertepatan dengan kaedah : "Ganjaran berkadaran dengan amalan", maka seseorang itu boleh memahami bahawa segala amalannya di dunia sedang dicerminkan ke dalam bentuk yang zahir di alam akhirat.

Oleh itu, seseorang itu apabila masuk ke syurga, hakikatnya hanya memerhatikan cerminan amalannya di dunia, lalu atas sebab itu ia lebih mengenali rumahnya di syurga berbanding rumahnya di dunia.

Ini kerana rumahnya di dunia dipenuhi dengan perkara yang boleh berubah, dan tidak semuanya seperti yang dibayangkan seadanya. Boleh jadi rumahnya ditimpa banjir, jalannya ditutup, tersesat jalan, dan berlaku perubahan demi perubahan yang di luar perkiraannya.

Adapun rumahnya di syurga, segala petunjuk (waze) ke rumahnya hanyalah satu bentuk cerminan perjalanannya ke surau, bentuk rumah yang terzahir adalah cerminan solatnya di dunia, taman-taman di sekeliling adalah cerminan tasbihnya, perhiasan di sekelilingnya adalah cerminan sedekahnya, air sungai yang tersedia adalah cerminan puasanya, dan begitulah seumpamanya, semuanya dikenali dengan lebih dekat, kerana yang dilihat hanyalah ... cerminan dirinya sendiri.

Dengan kefahaman ini, maka dapatlah sedikit kita memahami ayat Allah SWT :

"Barangsiapa yang bermujahadah, maka sesungguhnya mujahadahnya adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kaya terhadap seluruh alam" - Surah Al-Ankabut, ayat ke-6

Wallahua'lam bissawaab.
Tugas murabbi 'membuka hijab' anak buahnya

Nabi SAW bersabda : "Syurga itu ditutupi dengan perkara yang tidak disukai. Dan neraka itu ditutupi dengan perkara yang disukai syahwat" - HR Muslim

Hadis yang biasa disebut sebagai pengajaran umum di dunia bahawa rahsia dan hikmah tadbir Allah SWT terkandung pada apa yang disebalik tabir.

Naratif umum memahami hadis ini adalah memahami syurga itu harganya mahal, ia perlu dibayar dengan kesanggupan jiwa untuk menanggung beban, kesusahan dan menolak kehendak jiwa untuk menongkah 'dinding kesusahan' agar menuju ke syurga.

Namun perspektif saya bertambah apabila membaca ulasan Al-Imam Asy-Syaarani RHM terhadap hadis ini :

"Telah bersepakat kaum (ahli tazkiyah dan mujahadah) bahawa tidak boleh tidak, bagi orang yang mahu tinggalkan syahawat dan menanggung keberatan dan kesusahan, hendaklah ia melalui satu perjalanan rohani (suluk) di bawah bimbingan sheikh (guru) yang benar, yang akan 'melembutkan' kekerasannya, dan menipiskan hijabnya, hingga ia boleh menyaksikan syurga dan neraka, seolah-olah ia melihatnya.

Jika tidak, maka hakikatnya orang yang terhijab (dari melihat syurga dan neraka) tidak akan mampu untuk meninggalkan syahwatnya, dan menanggung perkara yang tidak disukainya" - Mukhtasar Kitab At-Tazkirah tulisan Al-Qurtubi oleh Al-Imam Asy-Syaarani RHM

Benar, inilah hakikatnya peranan murabbi. Ia memimpin anak buahnya merentasi hijab-hijab fatamorgana dunia, agar sentiasa menyaksikan syurga dan neraka di depan mata.

Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat RA, hingga kita biasa membaca hadis Harithah bin Zaid RA mengenai soalan baginda SAW kepadanya: "Bagaimana engkau berpagi-pagian hari ini?", yang dijawab dengan penuh keyakinan dan keimanan bahawa imannya kukuh dan beliau ibarat menyaksikan syurga dan neraka.

Jadi, wahai para murabbi dan muridnya, bagaimana kalian berpagi-pagian hari ini?

Wallahua'lam bissawaab.