Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)
382 subscribers
961 photos
9 videos
1 file
89 links
Channel Rasmi JAKESS untuk menyalurkan berita mengenai Mahkamah Syariah Negeri Selangor
Download Telegram
PENYELIDIKAN DAN SEMAKAN FAIL JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR (JAKESS) DI ARKIB NEGARA MALAYSIA (ANM)

SHAH ALAM, 26 November 2025 – Seksyen Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah menjalankan sesi penyelidikan dan semakan ke atas fail jabatan yang dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia (ANM) bertempat di Dewan Penyelidikan, Seksyen Rujukan dan Akses, Wisma Warisan, ANM.

Sesi ini diketuai oleh Pegawai Rekod Jabatan (PRJ), Encik Sofian bin Ibrahim, bersama Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ), Puan Nuraziraakmar binti Othman dan Puan Nurul Nadia binti Tahad, Timbalan Pendaftar JAKESS. Turut hadir seorang pelajar Latihan Industri (LI) UiTM Puncak Perdana, Cik Khairun Iman Nadhira binti Norazli.

Pasukan JAKESS menerima bantuan daripada Pegawai Arkib yang memberikan taklimat mengenai prosedur penyelidikan dan semakan, selain menyediakan salinan fail bagi tujuan rujukan rasmi jabatan.

Hasil semakan mendapati semua fail berada dalam keadaan lengkap dan teratur. Program ini turut mengukuhkan kerjasama antara JAKESS dan ANM dalam urusan penyelidikan serta pengurusan rekod.

Sesi tersebut berjaya mencapai objektif utama, iaitu mengenal pasti fail berkaitan bagi kegunaan jabatan dan memastikan dokumen rujukan kekal tersedia apabila diperlukan walaupun telah dipindahkan untuk simpanan kekal di Arkib Negara Malaysia.

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama
DAULAT TUANKU
SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA DAN MERAHMATI PEMERINTAHAN TUANKU

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ
D.K., D.M.N., D.K. (Terengganu), D.K. (Kelantan), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Johor), D.K. (Pahang), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.J.

SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA

Sembah Tahniah Dan Ucap Selamat
Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-80 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor
Pada 11 Disember 2025 Bersamaan 20 Jumadal Akhirah 1447H

SEMBAH TAKZIM DARIPADA

YAA KETUA HAKIM SYARIE DAN SELURUH WARGA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama
HEBAHAN KURSUS PENDAFTARAN KES SECARA E-FILING KEPADA PEGUAM SYARIE KL/SELANGOR

Adalah dimaklumkan Unit Transformasi E-Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan menganjurkan Kursus Pendaftaran Kes Secara E-Filing. Kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan latihan teknikal kepada Peguam Syarie mengenai penggunaan sistem pendaftaran kes dan pembayaran secara dalam talian sepenuhnya.

Butiran program adalah sebagaimana ketetapan berikut:

Tarikh: 29 Januari 2026 (Khamis)
Masa: 8.30 Pagi – 2.00 Petang
Kaedah: Secara Dalam Talian (Online)
Sasaran: Peguam Syarie yang beramal di Wilayah Persekutuan & Selangor Sahaja

Para peguam hendaklah membuat pendaftaran menerusi Kod QR pada poster tersebut selewat-lewatnya pada 27 Januari 2026. Tarikh tutup ini adalah kritikal bagi membolehkan pihak JKSM mewujudkan ID Pengguna (User ID) sistem untuk setiap peserta sebelum kursus bermula.

Harap maklum terima kasih.

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama
RETREAT PENGUKUHAN PERJAWATAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SELANGOR

KLANG, 27 JANUARI 2026 - Jabatan Kehakiman Syariah Selangor telah mengadakan 'Retreat' Pengukuhan Perjawatan Jabatan bertempat di KSL Esplanade Hotel, Klang disini semalam.

Retreat yang diadakan bertujuan bagi sesi pembentangan dan perbincangan Laporan Audit Kendiri Perjawatan Organisasi (AKPO) yang disertai pengurusan tertinggi JAKESS diketuai YAA Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Selangor.

Perbincangan turut disertai Puan Nurmala binti Saaman, Penolong Setiausaha (Pembangunan Organisasi) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat SUK Selangor.

Jabatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan usaha Jabatan dalam mengukuhkan perjawatan di Jabatan ini.

#jakess
#syariahasaskeadilan
#kitaselangormajubersama
JAKESS RAIH TEMPAT PERTAMA APPC TAHUN 2025 BUAT KALI KELIMA BERTURUT-TURUT

SHAH ALAM, 26 JANUARI 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) hari ini terus mengukuhkan reputasinya sebagai agensi kerajaan contoh apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Johan Anugerah Pengurusan Pejabat & Pentadbiran Cemerlang (APPC) Tahun 2025 bagi Kategori Lain-Lain Agensi.

Pengiktirafan berprestij tersebut disampaikan dalam satu majlis gilang-gemilang bersempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Dato’ Menteri Besar Selangor yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri Selangor pagi ini.

Susulan kejayaan merangkul tempat pertama tersebut, JAKESS membawa pulang hadiah kemenangan berupa piala kemenangan, sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah RM15,000.00.

Pencapaian ini dianggap luar biasa buat warga Jabatan Kehakiman Syariah Selangor kerana ia merupakan kemenangan kali kelima berturut-turut yang berjaya diraih oleh JAKESS dalam tempoh 10 tahun.

Rekod cemerlang satu dekad ini membuktikan konsistensi dan komitmen tinggi JAKESS dalam memartabatkan sistem penyampaian perkhidmatan serta tata kelola pentadbiran yang efisien.

Dalam meraikan kemenangan ini, JAKESS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan dedikasi istimewa kepada Mantan Ketua Hakim Syarie Selangor, YA Dato’ Mohammad Adib Bin Husain.

Kejayaan ini dilihat sebagai kesinambungan legasi kepimpinan beliau memandangkan proses penilaian dan audit APPC 2025 telah berlangsung sewaktu beliau masih menerajui pentadbiran JAKESS. Komitmen, amanat serta penekanan beliau terhadap budaya kerja kelas pertama menjadi tunjang utama yang membolehkan jabatan ini melepasi piawaian ketat penilaian sekaligus mengekalkan kejuaraan.

Anugerah APPC merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi mengiktiraf agensi dan jabatan yang mempamerkan kualiti pengurusan pejabat yang kondusif, sistem fail yang sistematik, serta inovasi dalam pentadbiran awam. Kemenangan dan insentif yang diterima ini sekaligus menyuntik semangat baharu kepada seluruh warga kerja JAKESS untuk memulakan tahun 2026 dengan tekad memberikan perkhidmatan kehakiman yang lebih telus, pantas dan berintegriti selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Selangor.

Majlis Amanat Tahun Baharu tersebut turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi negeri, ketua-ketua jabatan, serta penjawat awam dari pelbagai agensi yang hadir bagi mendengar hala tuju strategik pentadbiran negeri bagi tahun 2026 yang disampaikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.
JAKESS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerjanya atas usaha kolektif dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi sehingga membolehkan jabatan ini kekal relevan sebagai peneraju kecemerlangan pentadbiran di Negeri Selangor.

#jakess
#syariahasaskeadilan
#KitaSelangorMajuBersama