Abdul Hadi Awang
✔
10.4K subscribers
12.8K photos
664 videos
19 files
1.03K links
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Ahli Parlimen Marang, Malaysia 🇲🇾
Download Telegram
Al-Quran ialah kalam Allah SWT, mukjizat yang tidak terhingga ilmunya dan petunjuk yang memimpin manusia ke jalan yang lurus. Kebenarannya terpelihara oleh Allah SWT, merentasi zaman dan generasi. Memahami serta mentafsirkan Al-Quran menuntut ilmu yang mendalam, ketelitian dan amanah agar petunjuk Allah disampaikan berlandaskan kefahaman yang benar.

Mentafsirkan Al-Quran bukanlah suatu amanah yang boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya. Ilmu Allah SWT terlalu luas, sedangkan pengetahuan manusia amat terbatas. Kisah Nabi Musa AS yang diperintahkan belajar daripada Khidir AS mengingatkan kita bahawa setinggi mana pun ilmu yang dimiliki, masih banyak perkara yang belum diketahui oleh manusia.

Sebab itu, Tafsir al-Tibyan disusun dengan merujuk kepada kaedah dan sumber ilmu tafsir yang muktabar, termasuk ayat Al-Quran yang menjelaskan ayat lain, Sunnah Rasulullah SAW, huraian para sahabat dan tabiin, riwayat bersanad, penguasaan bahasa Arab serta ilmu berkaitan sebab penurunan ayat dan maqasid syariah. Semua ini penting bagi memastikan kefahaman terhadap Al-Quran berpandukan disiplin ilmu yang benar.

Dalam melaksanakan amanah ini, saya memohon pertolongan Allah SWT agar dikurniakan keikhlasan, kebenaran dan sifat amanah dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Mudah-mudahan usaha ini menjadi amal jariah kepada ibu bapa, keluarga, guru-guru, sahabat handai serta semua penyumbang yang telah memberikan harta, tenaga dan fikiran. Semoga Tafsir al-Tibyan memberi manfaat kepada umat, membimbing kehidupan di dunia hingga ke akhirat, dan menjadi bekalan yang diterima oleh Allah SWT.

[Majlis Pelancaran Tafsir Al-Tibyan, 17 Oktober 2026, Cyber Event Hall, Cyberjaya]
❤46