Ust Abdul Halim Abdullah (Channel)
1.81K subscribers
186 photos
9 videos
6 files
268 links
Us. Abdul Halim Abdullah
Download Telegram
🔴 WAKIL YANG TIDAK MEWAKILI

Ini bermakna dengan mengambil pendirian menentang pemerkasaan undang-undang dan mahkamah Syariah di Malaysia, wakil-wakil rakyat atau ahli Parlimen dari MCA :

1- Tidak membawa ke Parlimen, suara rakyat yang diwakilinya atau yang mengundinya dalam PRU13 yang lalu. Sebaliknya mereka membawa suara yang lain.

2- Tidak mengambil pendirian parti Barisan Nasional (BN) yang bersama PAS di DUN Kelantan, telah mengundi menyokong RUU peringkat negeri.

3- Cuba menafikan hak Umat Islam untuk memilih Syariat Islam dalam mengatur peraturan kehidupan mereka.

Oleh itu, Umat Islam hendaklah sedar dan mengambil iktibar sebesar dan sejelasnya, betapa :

1- Memilih atau memangkah seseorang calon dalam Pilihanraya adalah suatu yang amat penting dalam kehidupan di dunia, dan akan dipersoalkan Allah di Akhirat kelak. Ia memberi kesan kepada perundangan yang mengatur kehidupan mereka ... (Baca selanjutnya
http://wp.me/p8vTY-1D2)


Us. Abdul Halim Abdullah
16 Oktober 2016
ISU BUNUH DIRI DI JAMBATAN PULAU PINANG

Kemungkaran dan penindasan di zaman Arab Jahiliyah tidak kurang berleluasa dan bermaharajalela. Lalu Allah swt mendatangkan Al-Quran dan perjuangan Rasulullah saw sebagai panduan ilahi rabbani sebagai petunjuk hingga akhir zaman, bagaimana hendak melakukan perubahan hakiki sehingga tertegaknya Syariat Allah menggantikan Jahiliyah, dan melatanya kebebasan dan keadilan hakiki.

Cara membunuh diri, bukan datang dari Al-Quran dan As-Sunnah. Jika lari dari panduan ilahi, ia juga tidak akan membawa kepada perubahan hakiki yang dikehendakki Islam.

Nyawa kita adalah milik Allah swt. Kita tidak boleh bertindak terhadap nyawa kita, selain dengan cara yang dikehendakki Allah swt sahaja. Dia swt adalah pemilik nyawa tersebut. Sebagaimana kita tidak boleh mencabut nyawa orang lain tanpa hak dan dianggap jenayah dalam Islam, begitu juga kita tidak boleh mencabut nyawa kita sendiri tanpa hak.

Orang lain tidak boleh menaruh rasa simpati, apatah lagi menyokong secara langsung atau tidak langsung, terhadap sesuatu jenayah, samada jenayah terhadap orang lain, maupun jenayah seseorang terhadap diri sendiri. Apatah lagi jenayah ke atas nyawa tanpa hak.

Nauzubillah min zalik.

http://www.bharian.com.my/node/206836?m=1
RAKYAT NEGARA ISLAM

Sebaik Hamas menang Pilihanraya Palestin 2006, dan membentuk Kerajaan, seluruh Dunia mengenakan sekatan ke atas Gaza. Ada menteri sendiri yang terpaksa menyeludup bawa masuk wang tunai dari luar untuk memberi gaji kakitangan Kerajaan dan membantu Rakyat yang susah.

Perdana Menteri, Ismail Haniyeh sendiri tidak mengambil gaji selama hampir 2 tahun, demi kepentingan Rakyat jelata. Rakyat di Gaza mengikat perut, meneruskan kehidupan dalam sekatan, disamping bersiap sedia menghadapi serangan Israel yang seterusnya dari darat, laut dan udara.

Kemudian datang tawaran dari Barat, peruntukan belanjawan berbillion Dollar untuk Gaza dengan 2 syarat :

1- Palestin mengiktiraf kewujudan sebuah negara yang dinamakan "I.s.r.a.e.l".

2- Melucutkan senjata, meninggalkan jalan Jihad dan memilih jalan "P.e.r.u.d.i.n.g.a.n".

Ketika kesengsaraan memuncak, Rakyat ternanti apakah pilihan Kerajaan Palestin di bawah gerakan Hamas dan Perdana Menteri Ismail Haniyeh yang mewakili suara dan pilihan Rakyat disaat getir itu.

1- Jika menerima tawaran Barat yang lumayan itu, jangka pendeknya, setiap penghuni rumah di Gaza akan tidur beralaskan wang berkepuk, tetapi jangka panjangnya, "Palestin" akan lenyap dari Dunia Islam, diganti dengan Israel secara rasmi.

2- Jika menolak tawaran Barat tersebut, mereka akan terus mengikat perut, menghadapi kesengsaraan hidup, tetapi berusaha, berharap kemenangan dan Palestin akan dibebaskan oleh generasi seterusnya.

Samada hidup kenyang yang hina, atau hidup sengsara tetapi mulia.

Saya masih ingat ketika menziarahi Damsyiq 7-8 tahun lalu, ketika berjalan-jalan di Suuq (Bazar) Hamidiah, saya dan para peniaga berhenti sebentar di depan peti televisyen, melihat pengumuman Perdana Menteri Ismail Haniyeh di depan ratusan ribu rakyat Gaza, samada menerima atau menolak tawaran dari Barat tersebut.

"لن نعترف باسرائيل ، لن نعترف باسرائيل ، لن نعترف باسرائيل" (Kita tidak akan mengiktiraf "negara I.s.r.a.e.l". Kita tidak akan mengiktiraf "negara I.s.r.a.e.l". Kita tidak akan mengiktiraf "negara I.s.r.a.e.l").

Kejelasan dan ketegasan Hamas mengkagumkan saya.

Namun respon ratusan ribu hadirin lebih mengkagumkan dan mengukir satu tamaddun baru yang muncul di akhir zaman, persis seperti Generasi Pertama Islam yang di bina oleh Rasulullah saw.

Hadirin menyahut dan laungan mereka bergema memenuhi ruang angkasa Gaza:

" الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر " Lalu perhimpunan tamat, mereka bersurai. Bersurai dengan kembali hidup mengikat perut, disekat ekonomi, minyak bahapi dan ubat-ubatan, bersiap sedia diserang kembali oleh Israel dari darat, laut dan udara pada bila-bila masa.

Mereka tidak rela melayan kepentingan peribadi dengan tidur di atas longgokan duit dari Barat, sedang kepentingan umum Umat Islam dan keagungan generasi akan datang tergadai. Sungguh ajaib. Sungguh takjub.

Peristiwa di Gaza petang itu menunjukkan kepada saya bahawa bukan Hamas sahaja yang berjuang dan berkorban, malah Rakyat sebenarnya yang berjuang dan berkorban. Hamas hanya mendidik dan memimpin perjuangan dan pengorbanan Umat. Hamas bukan memimpin Rakyat yang tidak mahu berjuang dan berkorban.

Dengan segala masalah, kerosakan jiwa dalam negara serta ancaman dari musuh luar negara, adalah sukar untuk tegak sesebuah Negara Islam yang kuat, berdaulat dan berjaya. Hamas memimpin Rakyat yang mengutamakan kepentingan umum jauh mengatasi kepentingan peribadi.

Benarlah panduan Imam Hasan Al-Banna dalam Muktamar V, jam 6pm, 2 hb. Februari 1939, lebih 60 tahun sebelum itu betapa pentingnya memiliki Rakyat yang lebih mengutamakan Kepentingan Umum mengatasi Kepentingan Peribadi, sebagai persediaan asasi penegakkan Negara Islam yang hakiki:

"Ikhwan Muslimin lebih cerdik dan lebih tegas dari ia hendak mengemukakan dirinya bagi menjalankan tugas sebagai Kerajaan, sedangkan (jiwa) Umat ini dalam keadaan sebegini (tenat).

Maka oleh itu, hendaklah ada satu tempoh di mana prinsip-prinsip Ikhwan Muslimin tersebar luas dan menjadi dominan, dan di dalam tempoh tersebut juga Rakyat belajar bagaimana hendak mengutamakan k
epentingan umum mengatasi kepentingan peribadi".

Kaedah tersebut hendaklah tertanam kukuh di dalam sanubari setiap Duat.

Hari ini fikiran saya melayang jauh melihat Umat di Malaysia. Bagaimanakah senerio sekiranya parti-parti yang Islamik menang Pilihanraya lalu melaksanakan Syariat Islam, tiba-tiba dikenakan sekatan Antarabangsa. Kakitangan kerajaan tidak mendapat gaji berbulan-bulan, harga barang melambung dan kesengsaraan memuncak. Adakah Rakyat Malaysia akan tetap mengikat perut, melaungkan Allahu Akbar, mempertahan dan mendokong golongan Islamis mencari jalan keluar? Atau sebaliknya yang berlaku di mana Rakyat akan mencemuh, marah, serik dan menjauhkan diri dan undi dari golongan Islamis dalam Pilihanraya berikutnya.

Adakah perjalanan perjuangan kita menegakkan Syariat Allah telah dekat, atau masih jauh?

Adakah seruan membina Individu Muslim, Keluarga Islam, Masyarakat Islam, Kerajaan Islam dan seterusnya itu hanya satu rethorik, atau seruan itu adalah dasar dan intipati perjuangan menegakkan Islam itu sendiri?

Ust Abdul Halim Abdullah
1/11/2016.
NEGARA MAT SALEH LEBIH "ISLAMIK"?

Ulasan tambahan oleh: Ust Abdul Halim Abdullah

Allah swt mengutuskan Nabi Muhammad kepada umat akhir zaman pada Kurun 7M. Saat itu Eropah atau Barat hidup dalam zaman "Feudal". Itu istilah mereka. Hakikatnya Raja memiliki segala seisi negara. 5% penduduk adalah golongan Nobles (pembesar) dan Knights (tentera) yang mengekalkan kekuasaan Raja turun temurun, dengan mendapat habuan kebendaan.

95% penduduk adalah golongan Peasants (petani) yang diperah keringat dan darah sepnjang hidup, generasi demi generasi.

Di zaman itu Rasulullah saw mentajmik (memghimpun), mentarbiyah (mendidik) manusia dan memimpin mereka menegakkan Daulah Islamiah (Negara Islam) di Madinah. Rasulullah saw membawa tamaddun baru :

1- Dari hidup seperti "Peasants" ditindas kepada rakyat yg tahu hak diri, minta balas tonyoh perut Nabi saw sebelum Perang Badar, sebab Nabi saw tonyoh perut nya utk luruskan barisan.

2- Menjadi semulia-mulia akhlak diri dan setinggi perasaan Ukhuwwah sesama mereka.

3- Ketika wafat, Nabi saw tidak menentukan siapa Raja atau Presiden, sebaliknya membiarkan Rakyat memilih ketua negara dengan bebas dan bermesyuarat.

Apabila Rakyat mengetahui hak dan harga diri mereka, mereka lebih seronok dan gembira berkongsi fikiran dan bakat dalam membangun negara.

Apabila Rakyat bebas memilih ketua negara, mereka memilih yang terbaiķ di kalangan mereka, lalu mereka mendokong ketua negara tersebut dgn apa bakat yang mereka miliki. Apabila ketua negara sedar dan insaf, dia dipilih dan diangkat oleh Rakyat, dia boleh diturunkan oleh Rakyat, maka dia bertanggungjawab dan belas kasihan terhadap mereka. Berlaku ketelusan, pertanggungjawaban, check and balance, tertolak budaya bodek dan taasub dan proaktif dalam membangun negara dan mendidik Rakyat.

Apabila dikatakan "Islam terdapat di Barat, di New Zealand dsb." yang dimaksudkan adalah terdapat kebebasan dalam memilih ketua negara seperti yang ditunjukkan oleh Nabi saw tanpa sebarang kospirasi untuk mengekalkan kuasa selama mungkin seperti hal kebiasaan dalam negara-negara umat Islam, setiap warga merasai hak nya sebagai Rakyat, tiada lagi ketakutan hukuman tanpa bicara hakiki seperti berlaku dalam banyak negara umat Islam, rekod kewangan telus tanpa korupsi dan bermacam- macam lagi ciri di banyak negara Barat dan Timur.

Kesemua ciri-ciri dalam banyak negara Barat hari ini, tidak terdapat samasekali di zaman Feudal ketika Nabi saw diutuskan. Ini bermakna, kebaikan sistem yang mereka nikmati hari ini, bukan dari warisan dari zaman Feudal tersebut.

Hakikatnya, apa yang dikecapi Barat hari ini berupa kebebasan, pemilihan ketua negara berasaskan bottom-top (pemimpin pilihan Rakyat terpilih - Ahlūl Hālli wāl Aqdi), ketelusan, keadilan, pertanggungjawaban, tiada taksub atau bodek politik, adalah diwarisi dari satu tamaddun baru yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada umat manusia, dan tersebar ke Barat dari ilmu dan tamaddun Islam di Andalusia (Islamic Spain), Eropah Barat, dan dari Eropah Timur di zaman Perang Salib dan selepas kejatuhan Empayar Byzantine.

ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya".

Sebaliknya, pada hari ini, ramai umat Islam di banyak negara umat Islam yang hidup seperti zaman Feudal di Barat. Bezanya di zaman itu zaman pertanian. Persamaan nya adalah kekayaan dan kuasa hanya berada di tangan golongan tertentu. Tidak ada kebebasan memilih ketua, pemerintah berkonspirasi untuk kekal berkuasa selama boleh, tiada pertanggungjawaban kerajaan di depan Rakyat, Rakyat jahil dari memahami hak-hak mere
ka, kemiskinan dan jenayah melata, Rakyat jadi pasif, keakuan, tidak peka kepada hak atau batil dan lemah jiwa dari mengambil tanggungjawab.

فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ

"(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka".

Penyakit umat kita pada zaman ini bukan semata-mata penyakit politik. Bahkan penyakit itu telah membarah hingga masuk ke dalam jiwa individu dan masyarakat. Penyakit bukan lagi di kulit, akan tetapi telah merebak ke dalam isi kandungan, iaitu ilmu, kefahaman, pemikiran, jiwa, hati dan perasaan.

http://www.ismaweb.net/2016/10/negara-mat-saleh-lebih-islamik/
Abdul Halim Abdullah

DI ANTARA PENDAULATAN DAN PERLAKSANAAN SYARIAT ISLAM

Syariat Islam adalah sistem, hukum hakam dan undang-undang Islam.

Kita harus tahu perbezaan di antara 2 perkara, iaitu :

1- Pendaulatan Syariat Islam.

Ia juga boleh panggil Ketuanan Syariat Islam yang membawa pengertian Sovereignty atau Supremacy.

2- Perlaksanaan Syariat Islam. Ia membawa pengertian Execution.

Sejak Hijrah berlaku pada tahun 610M dan Islam berkuasa, Syariat Islam di*daulat*kan dengan termeterinya Piagam Madinah. Di dalamnya disebut apa sahaja perselisihan yang berlaku, maka tempat rujukan asasi dan tertinggi adalah Al-Quran dan As-Sunnah.

Selepas itu, Syariat Islam pun di*laksana*kan contohnya dalam kisah Al-Ifk (tuduhan bohong zina terhadap Aisyah ra.), 3 orang sahabat di sebat 80 sebatan. Mereka adalah Mistah bin Uthathah ra., Hassan bin Tsabit ra. dan Himnah binti Jahsy ra.

Adakalanya hukuman tidak dilaksanakan, samada kerana :

1- terdapat kekeliruan dalam proses Keterangan, kerana Nabi saw bersabda "ادرء الحدود بالشبهات " (Jangan laksanakan Hudud jika terdapat ketidakjelasan keterangan), atau

2- suasana darurat seperti kebuluran yang pernah berlaku di zaman Khalifah Umar Al-Khattab ra. Beliau tidak melaksanakan hukuman ke atas pencuri dalam suasana seperti itu.

Namun, dalam kedua-dua keadaan, samada hukum hakam dilaksanakan atau tidak dilaksanakan kerana bersebab, Syariat Islam adalah dan tetap berdaulat, sovereign dan supreme.

TEMPAT

Tempat mendaulatkan Syariat Islam adalah di Parlimen.

Manakala tempat melaksanakan Syariat Islam adalah di Mahkamah.

Maka tugas bahkan kewajipan Ahli-ahli Parlimen atau Wakil-wakil Rakyat adalah mengundi sehingga semua hukum hakam di Malaysia, samada Hudud atau Takzir, menjadi selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Tugas Mahkamah pula adalah meneliti keterangan-keterangan dari pihak pendakwa dan pembela, dan memutuskan perlaksanaan hukum hakam mengikut Undang-undang yang telah diaktakan oleh Parlimen dan DUN yang telah mendaulatkan Syariat Islam, dengan mengambil kira suasana, samada darurat atau tidak, dan berbagai faktor lain yang berkaitan.

Jelasnya, pendaulatan Syariat Islam mesti diperjuangkan sepanjang masa sehingga tercapai.

Perlaksanaan Syariat Islam dilakukan atau ditangguh mengikut suasana dan keadaan.

Kita tidak boleh mengatakan tangguh usaha pendaulatan Undang-undang Islam di Parlimen kerana pembahagian kekayaan tidak sekata dan terdapat ramai orang miskin. Bagaimana pula nanti jika En. Kasim seorang jutawan mencuri terang-terangan ?

Tidakkah kita melihat bahawa Syariat Islam berdaulat di zaman Nabi saw, sedang terdapat ramai sahabat yang miskin, tiada rumah bahkan ada yang tinggal menumpang di Masjid Nabawi ?

KESIMPULAN

Semua Umat Islam dari semua parti politik, ngo, badan, persatuan dan individu mesti terlibat dalam usaha dan perjuangan mendaulatkan Syariat Islam di Parlimen dan DUN. Ini juga termasuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah sehingga ia berada di kedudukannya yang tertinggi dan selari dengan Perlembagaan Malaysia yang menyatakan Agama Negara adalah Islam.

Mana-mana suasana dan keadaan dalam negara Malaysia diaspek ekonomi, sosial dan politik yang dilihat banyak kekurangan oleh sesetengah pihak, maka ia kena diambil kira dalam perlaksanaan Syariat Islam di Mahkamah. Namun ia sekali-kali tidak boleh menjadi alasan untuk menghalang pendaulatan Syariat Islam di dewan-dewan perundangan seperti di Parlimen dan DUN.
ULAMAK, ANJING DAN KELDAI

Dari riwayat Ibnu Abbas ra dan Ibnu Mas'ud, orang lelaki yang dimaksudkan oleh Allah swt dalam ayat 175 surah Al-A'raaf tersebut adalah Bal'am bin Azar dari Bani Israel di zaman Nabi Musa as. Dia diberi tanda kekuasaan Allah swt dimana doanya selalu mustajab (dikabulkan). Firman Allah beemaksud, "Dan ceritakanlah kisah seorang lelaki yang Kami beri tanda-tanda Kami ..." (Al-A'raaf : 175).

Walaubagaimanapun, akhirnya dia kufur dan meninggalkan ajaran Nabi Musa as. Itu maksud فانسلخ منها bermaksud Bal'am meninggalkan tanda-tanda kekuasaan Allah (doanya mustajab) yang dianugerah kepadanya, lalu dia menjadi kafir.

Kerana kekufurannya setelah diberi kelebihan, maka Allah umpamakan Bal'am seperti anjing.

Ayat 5 Surah Al-Jum'ah pula, Allah swt jelas mencela Yahudi Bani Israel kerana mereka kufur terhadap kitab Taurat yang dianugerahkan kepada mereka.

Firman Allah swt bermaksud, "Perumpamaan orang-orang yang memikul (dianugerahkan) kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (meninggalkan dari beriman kepada kitab tersebut), seperti keldai yang memikul lembaran-lembaran (tidak faham dan tidak tahu menghargai)" (Al-Jum'ah : 5).

Kerana kekufuran Yahudi setelah Allah swt menganugerahkan kepada mereka kitab Taurat, maka umpamakan Yahudi seperti keldai.

Mungkin ada pihak yang cuba mengaitkan sebahagian para Ulamak Islam dengan kisah Bal'am dan kaum Yahudi di atas berdasarkan kaedah : "Pengajaran dari umum lafaz, bukan dari khusus sebab" (العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب ).

Namun, dari kaedah Tafsir dgn Tafsir, turutan ayat, tafsir para Sahabat sendiri, Allah swt banyak mengumpamakan manusia dengan binatang (anjing, keldai, binatang .كالانعام, شر الدواب , dsb) adalah mereka dari golongan kafir dan musyrik, khususnya Yahudi.

Allah swt tidak sifatkan seperti binatang terhadap orang-orang Islam dan Mukmin, apatah lagi terhadap golongan Ulamak di kalangan mereka.

Saya berpendapat, perumpamaan yang ditujukan terhadap sesetengah ulamak Islam sebagai anjing dan keldai adalah kurang selari dengan ayat-ayat Al-Quran di atas, kecuali jika ada "ulamak" yang menjadi talibarut kuasa asing yang memusuhi Islam dari dalam. Kita mohon perlindungan Allah dari kejahatan mereka.

Us. Abdul Halim Abdullah
5 November 2016

Watch "Dr Asri - mengapa Allah samakan ulama dengan anjing & keldai" on YouTube
https://youtu.be/63Gm2m9eraQ
REPULIKAN vs DEMOKRAT

REPULIKAN

Pada tahun 1990, saya hopelessly melihat melalui peti tv, Presiden Amerika, George Bush I si-Ayah (Republican) mengarahkan tentera Amerika menyerang Umat Islam di Iraq. Jutaan tan peluru buruk usang termasuk bahan-bahan radioaktif, dibuang di padang pasir Iraq dan bil bayarannya dikenakan ke atas Saudi dan Kuwait (yang dicerobohi Iraq).

Ratusan ribu tentera Iraq dibunuh. Perang dihentikan sementara selama 13 tahun untuk memberi laluan kepada sekatan ke atas Iraq. Kesannya, jutaan Umat Islam termasuk bayi dan kanak-kanak mati, sakit atau cacat kerana kekurangan zat, ketiadaan ubat dan radiasi.

DEMOKRAT

Pada tahun 1992 - 1995, saya hopelessly melihat selama 4 tahun terus menerus, Umat Islam di Bosnia, di tengah-tengah benua Eropah, dikepung oleh negara jiran, Serbia dan Croatia di depan, dan oleh Eropah, Amerika dan Rusia di belakang. Seramai 300,000 orang putih Islam Bosnia dibunuh dan jutaan menjadi pelarian.

Pada tahun 1995, apabila 500 mujahideen Arab pergi berjuang di Bosnia dan telah mengalahkan Serbia dan Croatia di barisan depan, dan sedia untuk terus maju berjuang ke fasa seterusnya, Presiden Amerika, Bill Clinton (Democrat) campurtangan dan menamatkan jihad Arab di Bosnia dengan termeteri Perjanjian Dayton, Nov 1995 di Dayton, Amerika.

REPULIKAN

Setelah Umat Islam di Iraq tersangat lemah, bagaikan seorang tua yang tidak makan, menanggung sakit dan terdedah kepada radiasi selama 13 tahun (1990 - 2003), Presiden Amerika, George Bush II si-Anak (Repulikan) mengarahkan tentera Amerika menyerang dan menakluk Iraq. Selepas itu, hari ini Iraq diserah kepada Syiah yang bertindak membunuh Umat Islam di seluruh Iraq dan Syria.

Ratusan ribu Umat Islam dibunuh oleh tentera Amerikan dan sekutunya semasa perang. Selepas itu, ratusan ribu lagi dibunuh oleh Syiah Iraq di dalam negara Iraq dan di Syria hingga saat ini.

DEMOKRAT

Umat Islam zaman ini yang malang sentiasa impikan Harapan dan Kebangkitan, lalu Presiden Mursi menang pilihanraya di Mesir. Ia pilihraya bebas yang pertama dan terakhir sejak pemerintahan Firaun di zaman Nabi Musa as.

Tetapi Amerika, Barat dan Timur dengan boneka mereka di Mesir merampas kuasa Rakyat Mesir, digantikan dengan kuasa Tentera Mesir. Ribuan Umat Islam dibunuh. Ada jenazah dan masjid dibakar. Hari ini 40,000 pendokong Presiden Mursi dipenjara.

Presiden Obama (Demokrat) mengumumkan melalui Menteri Luar Amerika, John Kerry, bahawa Amerika menyokong rampasan kuasa tersebut, sebagai langkah untuk "menyelamatkan demokrasi".

TRUMP VS CLINTON

Perkara atau tragedi di atas adalah sebahagian kecil pemerhatian mata kepala saya sendiri sejak hampir 30 tahun lalu. Ia belum lagi ratusan atau ribuan perancangan dan tindakan jahat Barat dan Timur ke atas Umat Islam di serata dunia.

Hari ini ramai yang memberikan pandangan mana yang lebih baik untuk Umat Islam di antara Trump (Republikan) atau Hillary Clinton (Demokrat). Ramai yang memberi pandangan berdasarkan isi kempen pilihanraya mereka berdua.

Apabila menjadi lebih dewasa dan lebih matang, saya sejak 30 yang lalu, sudah tidak menilai ahli-ahli politik kepartaian dari perkataannya. Penilaian saya lebih merupakan *satu kesimpulan* dari pemerhatian keseluruhan siri *tindakan* seseorang dalam satu jangkamasa.

Alhamdulillah, penilaian begitu sehingga ke hari ini, jarang tersasar. Ia bukan sahaja terhadap ahli-ahli politik, tetapi juga terhadap sesiapa sahaja yang tabiatnya lebih berpolitik (siyasi) dalam cara berfikir dan perkataan, berbanding tabiat telus dan lurus (tarbawi).

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu Al-Furqan (petunjuk yang boleh membezakan antara yang benar dengan yang salah) dan Dia menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar" (Al-Anfaal : 29).

Abdul Halim Abdullah
10 Nov 2016
IMAM HASAN AL-HUDHAIBY (1891-1973)

Kelmarin, pada 11 Nov, genap 43 tahun pemergian Mursyid Am II Ikhwan Muslimin, Imam Hasan Al-Hudhaiby. Beliau meninggal dunia pada 11/11/1973 ketika saya berada di darjah 2. Tahun 1973 itu, tahun meninggalnya Tun Razak dan P. Ramlee di Malaysia.

Disebabkan pangkat beliau yang tinggi dan sensitif sebagai Penasihat dan Hakim Mahkamah Rayuan Mesir, beliau dididik sendiri oleh Imam Hasan Al-Banna, jauh dari usrah-usrah dan pengetahuan Ikhwan yang lain.

Kerjaya hakim dalam tempoh yang lama, dengan ilmu dan tarbiyah yang diperolehi, menjadikan beliau seorang "good listener" (pendengar yang baik). Beliau kurang bercakap, namun pendirian dan keputusannya selalu tepat dan jarang tersasar.

Setelah penjajah British keluar dari Mesir, Tentera Mesir menggulingkan Raja Farouk pada tahun 1952. Tentera memberikan janji-janji manis untuk melaksanakan Syariat Islam, menyebabkan ramai pimpinan Ikhwan terpegun, kecuali Hasan Al-Hudhaiby.

Telahan beliau benar. Dua tahun selepas itu, bermula tahun 1954, beliau bersama ribuan pimpinan dan ahli Ikhwan Muslimin dipenjara dan disiksa sehingga tahun-tahun 1970an. Ada yang dihukum mati, termasuk ahli tafsir agung abad lalu, Sayyid Qutub yang syahid di tali gantung pada tahun 1966.

Hari ini Mesir mengulangi sejarah yang sama.

Menjadi sunnah (ketetapan) Allah swt, Dia menganugerahkan bumi ini untuk dipimpin oleh Umat Islam selama lebih 1300 tahun, apabila mereka sendiri mencerminkan Islam dalam setiap tindak tanduk.

Jika Umat Islam jauh dari Islam, Allah jauhkan kepimpinan Dunia dari mereka. Ini yang berlaku hari ini.

Kerana itu, masih kekal dan berkumadang hingga ke hari ini, ungkapan termasyhur beliau "أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم لكم في أرضكم" bermaksud, "Tegakkan negara Islam dalam hati jiwa kamu (terlebih dahulu, nescaya) ia akan tertegak untuk kamu di bumi kamu".

Jika kita sendiri tidak adil, berlaku zalim ke atas orang lain, dalam skala yang kecil, bagaimana kita dapat tegakkan negara Islam yang bersifat adil dan telus, dalam skala yang lebih besar ?

Jika kita sendiri tidak tahu menyayangi orang, bagaimana kita dapat menegakkan negara Islam yang sifatnya menghargai masyarakat sebagai anak Adam serta negara dan kerajaan sebagai khadam yang berkhidmat dan berkorban untuk kebahagiaan mereka ?

Imam Hasan Al-Hudhaiby yakin bahawa jika tidak ada dan tidak nampak sifat negara Islam pada tindak tanduk kita, kita pasti gagal menegakkannya di negara kita. Ketika itu Sunnah Allah akan berjalan, di mana kumpulan lain pula terpilih berjuang menegakkan syariat dan negara Islam yang hakiki. Nauzu illah min zalik.

Moga Allah swt merahmati Imam Hasan Al-Hudhaiby, menempatkannya di Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin dan Solehin serta memilih kita untuk mengikuti jejak langkah beliau.

Us. Abdul Halim Abdullah 13 Nov 2016

Follow channel Telegram Us.Halim: https://telegram.me/ustabdulhalimabdullah
48 RIBU PENCERAIAN 6 BULAN PERTAMA 2016

Berita 48,077 kes cerai dalam masa 6 bulan di Malaysia mengejutkan kita. Apatah lagi cerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah swt.

Kesan darinya ditanggung oleh semua pihak, terutama anak-anak yang tidak berdosa, yang memerlukan kasih sayang, bimbingan dan ketegasan dari kedua ibu bapa, demi memandu mereka menghadapi hari muka.

Pasangan yang berkahwin datang dari 2 individu. Oleh itu, keluarga yang berjaya, datang dari 2 individu, suami dan isteri yang berjaya sebelum mendirikan rumahtangga.

Rumahtangga yang gagal asasnya adalah dari individu yang telah sedia gagal dalam keperibadiannya, samada tidak bertanggungjawab, bergelumang dengan maksiat, tidak terdidik dengan Agama, berkawan dengan teman-teman yang jahat dsb. Dengan kemudahan perhubungan di media sosial dan suasana pergaulan bebas yang semakin meluas di negara kita, mereka yang rosak terus bertambah rosak, lalu meruntuhkan sendiri mahligai rumahtangga yang baru cuba dibina.

Lebih malang sekiranya, salah seorang dari pasangan yang bercerai adalah dari insan yang baik dan bertaqwa, dengan seribu persediaan dan harapan untuk membina keluarga yang bahagia dan berjaya. Namun, kesilapan dalam pemilihan menyebabkan semua impian berkecai.

Oleh itu, fasa mendidik individu mesti mendahului fasa berkahwin. Individu mesti terdidik dengan aqidah, ibadah dan akhlak Islam yang sempurna. Selepas itu mereka dilatih teori dan amali, sejak dari kecil, dengan selok belok kehidupan rumahtangga. Lelaki dilatih bekerja dan berniaga. Wanita dilatih mengurus rumah. Bukan sibuk sepanjang hari bermain gadget, berpoya, lagha dan lain-lain perbuatan tak berfaedah lagi membuang masa yang sering dilakukan oleh ramai dari generasi hari ini.

Selepas itu, keluarga-keluarga berjaya akan membentuk masyarakat yang berjaya. Kita mahu Malaysia menjadi negara Dakwah yang menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk Dunia. Hanya masyarakat Islam hakiki yang mampu melakukan sedemikian.

Sebaliknya, apabila kita mendengar 50 ribu kes penceraian dalam masa setengah tahun, ia memberi isyarat bahawa masyarakat kita masih tenat dan memerlukan rawatan segera.
Moga Allah swt mengembalikan Umat kita ke zaman kegemilangannya dalam masa terdekat. Ameen.

Us. Abdul Halim Abdullah
14 Nov 2016
RAFIZI RAMLI DI MAHKAMAH

YB Rafizi Ramli dihukum penjara 18 bulan kerana memiliki dan mendedahkan satu halaman Laporan Pengauditan 1Malaysia Dovelopment Berhad (1MDB). Rafizi akan membuat rayuan.

Dalam proses Pengadilan, di satu kuasa, pihak Eksekutif (polis) menjalankan siasatan. Di kuasa lain, pihak Legislatif (Parlimen atau DUN) membuat Undang-undang.

Kedua-dua kuasa bertemu di kuasa Judiciary (kehakiman) yang akan mendengar perbicaraan dan menjatuhkan hukuman. Hakim yang membuat keputusan. Di sini pentingnya ilmu, hati dan jiwa Hakim.

Imam Hasan Al-Banna mengungkapkan kata para Hukamak silam, "ان العدل ليس فى نص القانون ولكنه فى نفس القاضى ، وقد تأتى بالقانون الكامل العادل الى القاضر ذى الهوى والغاية ، فيطبقه تطبيقا جائرا لا عدل معه ، وقد تأتر بالقانون الناقص والجائر الى القاضى الفاضل العادل ، فيطبقه تطبيقا فاضلا عادلا ، ومن هنا كاتن نفس الانسانية محل عناية كبرى فى كتاب الله " bermaksud, "Keadilan itu bukan terletak di tulisan Undang-undang, akan tetapi ia terletak dalam JIWA Hakim. Adakala undang-undang sempurna dan adil dijalankan oleh Hakim yang mengikut nafsu dan kepentingan, lalu dia menjatuhkan hukuman dengan zalim tanpa sebarang keadilan. Adakala undang-undang tidak sempurna dan zalim, dijalankan oleh Hakim yang mulia lagi adil, maka dia menjatuhkan hukuman dengan adil dan mulia. Oleh itu, JIWA manusia diberi perhatian terbesar dalam Kitab Allah".

Ahli-ahli dan bidang politik bertujuan untuk masuk dewan perundangan (Parlimen dan DUN) untuk menggubal Undang-undang.

Para Pendakwah pula berjuang siang malam untuk membaiki jiwa individu dan masyarakat. Walaupun pada zahirnya peranan mereka tidak seglamour Ahli-ahli Politik, tetapi sebenarnya jika mereka tidak mendidik jiwa Umat ini, maka sistem dan undang-undang negara akan lumpuh dan tidak bermakna.

Oleh itu para Pendakwah hendaklah merasakan keagungan tugas yang sedang mereka pikul dan laksanakan dalam mendidik masyarakat dan membersihkan jiwa-jiwa mereka termasuk pemimpin masyarakat dan pertubuhan, polis, wakil rakyat, peguam dan hakim.

Firman Allah swt bermaksud, "Demi Jiwa, dan Tuhan yang menciptakan jiwa. Maka Dia mengilhamkannya derhaka dan taqwa. Beruntunglah orang yang membersihkan jiwa. Binasalah orang yang mengotorkan jiwa".


Us. Abdul Halim Abdullah
14 Nov 2016