Abdul Hadi Awang
✔
10.4K subscribers
12.8K photos
664 videos
19 files
1.03K links
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Ahli Parlimen Marang, Malaysia 🇲🇾
Download Telegram
Media is too big
VIEW IN TELEGRAM
Sidang Media: Kenyataan Timbalan Presiden UMNO dan Isu Antarabangsa
❤33👍1
Minda Presiden PAS

NEGARA MENJADI HABUAN KERANA MENJATUHKAN KUASA BESAR ISLAM. APAKAH PERANANNYA?

Genap satu abad umat Islam kehilangan kuasa besar dunia Islam, iaitu Khilafah ‘Uthmaniyyah pada tahun 1924, akibat kelemahannya sendiri dan pengkhianatan yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam yang membantu musuh sehingga membawa kepada kejatuhannya.

Kerakusan terhadap kemewahan harta dan perebutan takhta untuk berkuasa telah menimbulkan perkelahian yang memecahbelahkan umat Islam yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan berbeza mazhab. Selain itu, keruntuhan akhlak pula menyebabkan hilangnya kehebatan dan timbul sifat takut akan mati kerana banyak dosa yang dilakukan.

Akhirnya, mereka dijajah dan dicatur oleh musuh yang bernafsu melihat kekayaan tanah air umat Islam dan berjaya memperhambakan penganutnya yang mudah diadu domba. Sehinggakan, berlakunya perang antara kaum dan mazhab serta perebutan harta dan takhta.

Akibatnya, mereka berpecah mengikut bangsa dari segi asal keturunan dan berpecah mengikut mazhab. Hal ini demikian kerana, kejahilan umat dalam beragama serta kelemahan ulama’ yang tidak bertafaqquh dalam agama. Seterusnya, hilangnya ikatan iman yang menjadikan hubungan persaudaraan laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Mereka bersatu dalam rukun Islam dan iman, tetapi berbeza dalam perkara furu‘ (cabang).

Satu demi satu tanah air Islam dan umatnya dijajah, sehingga akhirnya dicatur bagi menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah yang lemah dan tidak mampu mentadbir serta memimpin dunia Islam. Ada yang dilobi oleh penjajah supaya mengambil alih kuasa Islam daripada bangsa Turki kepada bangsa lain, khususnya bangsa Arab, sehingga membantu musuh yang menjatuhkan Kerajaan ‘Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama.

Selepas kehilangan kuasa besar Islam, wilayah-wilayah Islam dibahagikan dalam kalangan kuasa-kuasa besar penjajah. Hasilnya dirampas dan dicuri, rakyatnya diperhambakan serta para pemimpinnya diperkuda dengan diberikan habuan takhta dan pangkat untuk mentadbir wilayah dengan arahan penjajah masing- masing. Mereka terdiri daripada kalangan penyokong yang membantu penjajah bagi menjatuhkan khilafah kuasa besar Islam.

Palestin dan Bait al-Maqdis menjadi habuan Yahudi Zionis yang berjuang menegakkan negara agung Israel (The Greater Israel). Ditubuhkan banyak negeri-negeri baharu yang dibahagikan mengikut perjanjian dalam kalangan negara-negara penjajah, laksana membahagikan pusaka Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang telah berjaya dimatikan.

Baca selanjutnya:

https://harakahdaily.net/2026/09/18/negara-menjadi-habuan-kerana-menjatuhkan-kuasa-besar-islam/
❤24
Harta kekayaan negara bukanlah untuk dimonopoli oleh golongan tertentu, sebaliknya perlu diurus dengan adil demi kepentingan seluruh rakyat. Inilah antara prinsip yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab RA ketika mengurus tanah-tanah yang telah dibuka oleh pemerintahan Islam.

Apabila terdapat cadangan supaya tanah dibahagikan kepada tentera sebagaimana harta rampasan perang, Khalifah Umar RA tidak bersetuju. Tanah merupakan harta yang tidak boleh dipindahkan dan manfaatnya boleh dinikmati untuk tempoh yang panjang. Oleh itu, tanah dan hasilnya perlu diurus dengan cara yang lebih menyeluruh agar tidak hanya memberi manfaat kepada kelompok tertentu.

Islam menetapkan bahawa kekayaan negara hendaklah diurus supaya tidak hanya berlegar dalam kalangan orang-orang kaya. Kepentingan golongan fakir, orang yang berhijrah, masyarakat yang memerlukan serta generasi yang akan datang turut diberikan perhatian. Pemerintah mempunyai amanah untuk mengurus harta tersebut dengan kebijaksanaan, melalui syura dan berdasarkan hukum Allah SWT.

Inilah antara bentuk keadilan dan al-Wasatiyyah dalam Islam. Kekayaan yang banyak bukan alasan untuk diberikan kepada kelompok tertentu sahaja, sebaliknya ia merupakan amanah yang perlu ditadbir dengan adil supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat secara lebih menyeluruh.

[Kuliah Dhuha Jumaat, 6 Rabi‘ al-Akhir 1448H, Masjid Rusila, Marang]
❤35
Minda Presiden PAS

MAKKAH PERNAH DIGUNAKAN DALAM PERISYTIHARAN REVOLUSI ARAB MENJATUHKAN ‘UTHMANIYYAH

Revolusi Agung Kebangsaan Arab (The Great Arab Revolt atau al-Thawra al-‘Arabiyyah al-Kubra) yang berlaku pada tanggal 10 Jun 1916 M (9 Sya‘ban 1334 H) dinobatkan dengan jenama Makkah yang mulia.

Revolusi ini dimulakan dengan tembakan senapang oleh Syarif Husain (Raja Hijaz) yang memberontak bagi menjatuhkan khilafah dan mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah yang baharu. Beliau ialah pemimpin berbangsa Arab yang disokong oleh penjajah British bagi menggantikan Khilafah ‘Uthmaniyyah berbangsa Turki yang digulingkan.

Makkah merupakan tanah suci dan kiblat kepada umat Islam daripada semua mazhab yang sama rukun Islam dan imannya (Sunni, Syiah, Ibadi dan lain-lain), yang dinamakan semuanya oleh para ulama’ sebagai Ahli Kiblat. Malah, umat Islam juga masih menunaikan haji di Makkah walaupun mereka berkhilaf. Dalam kalangan mereka, ada yang tersalah dalam berijtihad dan ada yang tersesat kerana kejahilan mereka.

Maka, Makkah digunakan untuk menarik sokongan umat Islam, termasuk mereka yang tersesat bersama musuh Islam.

Di Malaysia, penjajah British bertindak terhadap Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang memimpin rakyat Terengganu menentang penjajah pada tahun 1928 dengan dibuang negeri ke Makkah. Namun begitu, ramai yang mengalu-alukan hukuman itu kerana diasingkannya ke tanah suci Makkah.

Kini, jenama Makkah digunakan semula melalui media yang berpihak kepada negara-negara yang diberikan hadiah atas jasa mereka menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah dahulu yang mengecewakan Palestin dan Bait al-Maqdis. Malah, negara-negara ini juga mengadakan normalisasi dengan Israel dan negara-negara yang mendukungnya, serta bersikap merendahkan pihak yang membela Palestin dan menentang Israel.

Baca selanjutnya:
https://harakahdaily.net/2026/09/21/makkah-pernah-digunakan-dalam-perisytiharan-revolusi-arab-menjatuhkan-uthmaniyyah/
❤19
Media is too big
VIEW IN TELEGRAM
Highlight Liqa' Fikri Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
❤19